KAMPAR: Satu mata yang diraih Muhammad Syawal Mazlin pada pendakian awal perlumbaan peringkat pertama Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) hari ini menjadi pembakar semangat buat pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) itu untuk mencabar pendakian Gunung Jerai, esok.
Syawal yang menamatkan perebutan mata Raja Bukit (KOM) di tempat ketiga pada kilometer (km) kesembilan, menganggap kutipan tersebut cukup penting menjelang cabaran lebih besar di puncak Gunung Jerai pada peringkat 2 bermula dari Taiping dengan jarak keseluruhan 145.6km.
“Untuk Gunung Jerai memang cabaran besar. Tambahan pula, tanggungjawab saya sebagai pelumba pendaki (climber) adalah untuk memberikan sesuatu pada peringkat esok.
“Jadi, mata KOM yang saya dapat hari ini menjadi motivasi besar untuk saya dan saya tidak sabar untuk menghadapi peringkat esok,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlumbaan peringkat 1, hari ini.
Pelumba berusia 21 tahun itu turut mengakui kemalangan yang menimpa rakan sepasukannya, Muhammad Iqmal Mohd Zarawi pada lima kilometer sebelum garisan penamat sedikit menjejaskan perancangan MPC.
“Iqmal juga antara tonggak kami untuk merebut Pasukan Terbaik Asia. Dia terlibat dalam kemalangan dan mungkin kehilangan kira-kira 30 saat.
“Jadi, agak sayang kerana dia sangat penting kepada pasukan. Namun, kami akan lihat perancangan untuk esok (hari ini),” katanya.
Sementara itu, Prinsipal MPC, Sayuti Zahit berkata, Iqmal mengalami cedera ringan daripada kemalangan tersebut dan masih boleh turun beraksi pada peringkat 2 esok. – UTUSAN











