KUCHING: Selepas 18 tahun mengharungi pelbagai cabaran dalam industri muzik, penyanyi dan komposer, MimiFly menganggap kejayaan membolot lima trofi pada Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-25 sebagai antara pencapaian paling bermakna dalam perjalanan seninya.
MimiFly, 49, berkata kejayaan itu hadir selepas melalui pelbagai fasa dalam karier termasuk ketika keupayaannya dipersoalkan serta berdepan tanggapan bahawa dirinya sudah terlalu berusia dan tidak lagi relevan untuk meneruskan kerjaya dalam industri muzik.
Berkat semangat juang dan sikap pantang menyerah, MimiFly atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, berkata kejayaan diraih pada AIM 25 terasa lebih bermakna selepas memilih untuk bangkit dan meneruskan semula perjalanan muziknya.
Menurutnya, pencapaian atau kegagalan tidak pernah dijadikan ukuran untuknya berhenti atau meneruskan perjuangan kerana menghasilkan muzik dilakukan atas dasar kecintaan terhadap seni.
“Saya sangat bersyukur, namun pencapaian atau kegagalan tidak akan membuatkan saya berhenti berkarya kerana saya terus berada dalam bidang ini memang kerana mahu berkarya.
“Saya tidak kisah sama ada menang atau tidak kerana masih banyak karya yang mahu saya hasilkan. Tetapi, saya sangat bersyukur kerana Anugerah Industri Muzik mengiktiraf saya dan hasil kerja ini,” katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, semalam.
Mengimbas perjalanan kariernya selama 18 tahun, MimiFly berkata, perubahan yang berlaku selepas membuat kemunculan semula pada penghujung 2024 menerusi lagu Angkat berlaku secara mendadak.
Katanya, detik kebangkitan itu lebih bermakna selepas dia melalui fasa ‘hilang diri’ selama empat tahun sehingga menjejaskan semangatnya untuk berkarya.
“Perubahan ini sangat mendadak kalau tanya saya. Tahun ini adalah tahun ke-18 saya dalam industri. Saya buat kemunculan semula pada penghujung 2024 selepas empat tahun tidak berkarya langsung dan saya sangat-sangat sengsara sepanjang tempoh empat tahun itu.
“Saya hilang diri apabila tidak berkarya. Jadi, apabila saya kembali dengan lagu Angkat dan lagu itu memenangi AIM 24, saya cuma rasa sangat berterima kasih kerana inilah jalan yang saya pilih,” katanya.
Menurut MimiFly, kejayaan diraih pada AIM 25 turut memberi makna besar kerana dia memilih untuk terus bergerak sebagai artis bebas tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.
“Seperti yang semua tahu, saya artis ‘independent’ dan bukan di bawah label. Saya adalah pasukan saya sendiri. Pasukan saya tidak besar, tetapi mereka sangat percaya dan mahu melihat saya menang.
“Jadi, saya sangat bersyukur kerana mempunyai pasukan yang kukuh. Saya juga mempunyai keluarga yang sangat menyokong, terutama Mama yang tidak pernah berhenti mendoakan saya. Saya rasa, sebab itulah saya dapat memegang anugerah ini hari ini,” katanya.
MimiFly mengakui sepanjang 18 tahun dalam industri, dia berdepan pelbagai keadaan apabila hasil karyanya dipandang sepi, selain menerima tanggapan bahawa dirinya sudah tidak mempunyai tempat dalam industri muzik.
“Sudah terlalu banyak kali saya menghasilkan sesuatu yang tidak menjadi. Terlalu banyak tahun apabila saya buat sesuatu, orang tidak percaya. Ada yang kata saya sudah terlalu tua untuk kembali dalam industri, malah zaman kemuncak saya sudah berakhir.
“Itu yang selalu saya dengar, bahawa saya sudah tidak relevan. Saya juga tidak dapat menghasilkan atau mengembangkan lagu kerana tiada pihak yang mahu membantu membawa karya saya keluar,” katanya.
Namun, MimiFly memilih untuk menggerakkan sendiri karyanya sehingga berjaya membuktikan bahawa perjalanan seorang anak seni tidak semestinya ditentukan oleh pandangan orang lain.
“Akhirnya saya buat sendiri dan Tuhan memberikan kemanisan kepada saya kerana memberikan peluang untuk berjaya. Ia membolehkan orang melihat bahawa kalau kita tidak berputus asa, insya-Allah akan ada jalannya.
“Saya sangat-sangat bersyukur kerana tidak berputus asa. Saya ada sistem sokongan yang baik dan sangat percaya kepada doa Mama kerana dia melihat bagaimana saya bekerja keras.
“Saya rasa berkat doa Mama itulah yang membuatkan saya berada di sini sekarang,” katanya.
MimiFly berkata, dia tidak pernah meletakkan sasaran untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan anak seni, sebaliknya mahu dikenali menerusi identiti dan karya tersendiri.
“Saya masih Mimifly yang dulu. Bagi saya, saya tidak mahu jadi yang terbaik. Saya mahu jadi ‘the one and only’. Saya cuma mahu jadi seorang anak seni yang lain daripada yang lain.
“Bukan untuk mencari siapa yang terbaik dalam kalangan kita anak-anak seni, saya cuma nak jadi ‘the one and only’, satu-satunya yang bawa apa yang saya bawa,” katanya.
Menurutnya, pengalaman sepanjang 18 tahun dalam industri turut mengajarnya supaya tidak mudah hanyut dengan pandangan negatif sehingga meragui kemampuan sendiri.
“Saya rasa itu boleh buka mata anak-anak seni muda bahawa kalau kita percaya dengan apa yang kita nak bawakan sebagai anak seni, tidak perlu kisah apa orang lain kata. Kita yang kena percaya diri.
“Mungkin sepanjang 18 tahun, terlalu banyak orang kata saya tak mampu dan tak boleh. Kadang-kadang benda itu masuk dalam diri dan kita mula percaya yang kita tak layak atau tak mampu buat.
“Bertahun-tahun saya rasa macam itu dan ia memberi kesan kepada kehidupan, sampai saya bangun balik dan ambil peluang untuk cuba lagi dan lagi,” katanya.
Pada AIM 25 yang disiarkan secara langsung menerusi TVS dari BCCK, kelmarin, MimiFly mencipta kejayaan besar apabila membawa pulang lima trofi.
Lima trofi itu ialah Susunan Muzik Terbaik Dalam Sebuah Lagu menerusi Nara, Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak di TikTok menerusi Serumpun, selain Video Muzik Terbaik serta Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik menerusi Temberang.
Kejayaan itu menyaksikan MimiFly muncul sebagai artis yang membawa pulang trofi terbanyak pada edisi Jubli Perak AIM, sekali gus melakar pencapaian peribadi membanggakan sebagai artis yang bergerak secara bebas bersama pasukannya sendiri.
Sementara itu, pemenang kategori Album Terbaik, Aisha Retno menyifatkan kejayaan album [RE:HAB] yang diterbitkan bersama Jaydi dan Seatravel sebagai pengiktirafan terhadap perjalanan panjang dilaluinya untuk kembali bangkit berkarya.
Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 26, berkata penghasilan album berkenaan turut menjadi proses pemulihan buat dirinya selepas melalui beberapa pengalaman sukar yang memberi kesan terhadap kehidupan dan perjalanan kariernya sebelum ini.
“Saya sendiri masih tertanya-tanya bagaimana proses penjurian terhadap album ini. Namun, saya sangat ingin berterima kasih kerana mungkin tujuan utama album ini memang untuk menjadi proses ‘rehab’ kepada tragedi yang pernah berlaku kepada diri saya, dua atau tiga tahun lalu.
“Mungkin ramai sudah tahu dan mengikuti perjalanan saya selama ini. Tetapi dengan ini, ia menjadi kebangkitan semula untuk saya terus berkarya,” katanya.
Mengulas kekuatan [RE:HAB], Aisha memilih untuk merendah diri dan mengakui bukan individu yang tepat untuk berbicara atau menentukan keistimewaan album berkenaan.
Bagaimanapun, dia percaya kepelbagaian genre yang digabungkan dalam satu album menjadi antara elemen yang dekat di hatinya.
“Bukan bidang saya untuk menentukan kekuatan album ini sendiri. Tetapi mungkin apa yang unik dan dekat di hati saya adalah genre yang berbeza-beza dibaurkan dalam satu album.
“Semua genre itu adalah hasil eksplorasi saya, satu fasa ketika saya mencari dan meneroka bagaimana bunyi muzik saya. Jadi, pendengar boleh disajikan dengan pelbagai genre yang mungkin selama ini hanya mengenali saya menerusi lagu Raya atau Tak Adil,” katanya.
Menurut Aisha, kepelbagaian bunyi dalam [RE:HAB] dihasilkan supaya karya berkenaan dapat dinikmati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mendekatkan muziknya dengan khalayak.
“Saya sajikan album itu dengan pelbagai bunyi yang boleh dinikmati daripada semua lapisan masyarakat. Bagi saya, penting untuk memilih sesuatu yang rapat dengan pendengar,” katanya.
Berkongsi sumber inspirasi, Aisha berkata ibunya, Jean Retno Aryani, menjadi individu penting yang mendorongnya meneruskan perjalanan seni, selain sokongan daripada ayah dan adiknya.
“Ibu adalah inspirasi nombor satu saya, diikuti keluarga kecil saya iaitu ayah dan adik yang saya bawa ke sini untuk bermuzik bersama.
“Kami bukan sahaja adik-beradik, tetapi juga rakan dalam perniagaan. Apabila bekerja, kami bekerja dan apabila menjadi adik-beradik, kami kembali sebagai adik-beradik. Saya rasa itu antara keindahan perjalanan saya,” katanya.
Menerusi kategori Album Terbaik, Aisha mengenepikan saingan empat karya lain iaitu Sa25 oleh Shila Amzah; Album: Lelaki Gila (Naim Daniel dan Adnin Roslan); Gema Bumantara (Siti) dan Jati Diri (Faizal Tahir dan Let Zapin).
Kejayaan memenangi kategori Album Terbaik melayakkan Aisha membawa pulang wang tunai RM200,000 menerusi Dana Kandungan Digital (DKK) oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
Selain itu, Aisha turut membawa pulang dua lagi trofi iaitu Rakaman Album Terbaik dan Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik menerusi lagu O.R.B.I.T.











