Siti Nurhaliza tiada alasan tarik diri dari AIM - Utusan Malaysia

Siti Nurhaliza tiada alasan tarik diri dari AIM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Datuk Seri Siti Nurhaliza menolak pandangan bahawa statusnya sebagai Biduanita Negara menyebabkan beliau tidak lagi perlu bersaing dalam mana-mana anugerah, sebaliknya menganggap penyertaannya dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) sebagai peluang menghargai bakat baharu dalam industri muzik.

Siti berkata, beliau tidak mempunyai alasan untuk menarik diri daripada anugerah pengiktirafan muzik berprestij itu kerana AIM merupakan antara pentas terbaik untuk penggiat muzik mengetengahkan hasil karya masing-masing.

“Mungkin untuk anugerah lain, saya bersedia untuk menarik diri. Saya pernah buat begitu ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi untuk AIM, saya tidak boleh pentingkan diri sendiri kerana ada orang lain yang perlu saya hargai. Ini adalah pentas terbaik untuk mereka. Jadi, tidak ada alasan untuk saya menarik diri,” katanya pada sidang media AIM 25 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Menurut penyanyi itu, penghasilan setiap album turut menuntut seseorang artis meneroka pendekatan dan formula baharu bagi memastikan karya yang dihasilkan kekal segar serta mempunyai kelainan.

“Di pentas AIM ini sebenarnya setiap tahun apabila menghasilkan album, kita mencari formula baharu. Jadi, kita kena terus meneroka,” katanya yang sudah merakamkan 21 album sepanjang tiga dekad pembabitannya dalam industri muzik.

Mengulas penerimaan terhadap album terbaharunya, Gema Bumantara, Siti mengakui karya berkenaan menerima pelbagai pandangan, terutama berkaitan pendekatan muzik tradisional yang diketengahkan.

“Ketika mula-mula saya keluarkan album Gema Bumantara, ada yang memberikan pandangan, kebanyakannya positif. Cuma ada segelintir yang berpendapat kalau muzik tradisional, ia perlu benar-benar tradisional.

“Bagi saya, kita perlu bijak mengikut arus perdana. Kalau saya menghasilkan album, saya mahu memberi peluang kepada anak muda menerusi kolaborasi dengan generasi baharu dan Generasi Z (Gen Z),” katanya.

Siti berkata, kerjasama bersama generasi baharu bukan sahaja membuka ruang kepada mereka untuk mengetengahkan karya, malah memberinya pengalaman serta perspektif berbeza dalam menghasilkan sesebuah album.

“Sebenarnya, kolaborasi itu memberi saya banyak ilmu dan variasi kepada setiap album saya. Kalau tidak, kita tidak akan dapat melihat pencipta-pencipta muda naik ke pentas seperti yang kita saksikan tadi (malam tadi),” katanya.

Pada AIM 25 yang disiarkan secara langsung menerusi TVS dari BCCK, malam tadi, Siti mencatat pencapaian membanggakan apabila membawa pulang empat trofi.

Beliau memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Kesuma, Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri, selain Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa menerusi Cenderamaya.

Siti yang sudah tiga dekad mewarnai industri muzik turut mendominasi senarai pencalonan AIM 25 dengan 14 pencalonan, termasuk kategori Album Terbaik menerusi album tradisional, Gema Bumantara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×