KOTA BHARU: Pas bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk sama ada bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau sebaliknya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata jentera parti akan akur dengan sebarang keputusan parti.
“Berhubung BN mengadakan rundingan dengan dengan gabungan, saya tidak pasti dan kita bersedia sama ada wujud kerjasama atau tidak.
“Namun, Pas bersama rakan muafakat politik, akan berusaha sedaya upaya bagi mencapai kemenangan di PRN Melaka.
“Pas tidak pernah mengambil mudah setiap kali pilihan raya dan kita harap gelombang kejayaan di Negeri Sembilan akan dapat diteruskan di Melaka,” katanya ketika dihubungi.
Media semalam melaporkan, BN mengesahkan akan mengadakan dua perjumpaan berasingan dengan dua kumpulan berbeza minggu depan bagi membincangkan kerjasama politik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kedua-dua pertemuan itu sudah diatur oleh Ibu Pejabat BN pada tarikh dan waktu berbeza.
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan identiti dua kumpulan berkenaan, sama ada membabitkan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau parti lain.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas bersama PN sudah membuat persediaan lebih awal dan pelancaran jentera peringkat negeri sudah diadakan.











