KANGAR: MEP21 memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Black Label Production bagi meneroka kerjasama lebih luas menerusi pembangunan barang dagang rasmi kumpulan Black Fire, pelancongan muzik, kandungan kreatif serta jaringan pemasaran ke peringkat nasional dan antarabangsa.
MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Kreatif MEP Venture Sdn. Bhd, Abdul Hafiz Zahidi
dan Pengarah Strategik Black Label, Nurul Adli Adzami dalam satu majlis di pejabat urusan MEP21 di sini hari ini.
Kerjasama tersebut sekali gus turut memperkukuhkan kedudukan MEP21 dalam industri barang dagang, percetakan, pemasaran dan pembangunan produk kreatif.
Ia juga salah satu langkah strategik MEP21 dalam memperluaskan jaringan industri dan pasaran, disamping menggabungkan kekuatan Black Label Production yang mempunyai pengalaman dalam pengurusan industri muzik, persembahan serta pengurusan kumpulan Black Fire.
Dalam kalangan peminat muzik black metal dan thrash metal tempatan, nama kumpulan Black Fire dari Perlis itu sememangnya cukup dikenali dan kini sedang menuju satu lagi fasa penting apabila bakal melancarkan album baharu, sekali gus bakal membuka ruang lebih besar kepada pembangunan jenama, promosi, barang dagang rasmi, persembahan, kandungan kreatif serta pembinaan komuniti peminat.
Ketua Pegawai Eksekutif MEP Ventures Sdn. Bhd, Ku Hasrin Ku Abdul Rahman berkata, melalui kerjasama tersebut, MEP21 akan memberi fokus kepada pembangunan produk, barang dagang, penjenamaan, pemasaran, pengurusan acara dan sokongan percetakan.
Katanya, manakala Black Label Production pula akan menyumbang kepakaran serta rangkaian dalam industri muzik dan persembahan.
“Pengalaman Black Label Production dalam menguruskan jelajah persembahan kumpulan-kumpulan muzik ke beberapa negara Eropah dilihat sebagai satu kelebihan penting. Jelajah itu bukan sahaja memberi peluang memperkenalkan muzik dan identiti Malaysia di peringkat antarabangsa malah berpotensi menjadi medium membawa bersama produk, jenama dan identiti dari Perlis ke pasaran luar negara.
“MEP21 melihat kerjasama itu sebagai platform untuk menggabungkan beberapa kekuatan utama dalam satu ekosistem iaitu muzik, acara, pelancongan, barang dagang, percetakan, penjenamaan dan jaringan media,” katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) negeri, Mohammad Faidzul Awang Bakar; Pengarah Black Label Production, Zahiri Zulkifly dan barisan kumpulan Black Fire.
Ku Hasrin berkata, kerjasama bersama Black Label dan Black Fire turut memberi ruang kepada MEP21 memperluaskan pendekatan perniagaan dan pembangunan produk.
“Kıta mahu membawa bersama kekuatan acara barangan dagang yang melibatkan muzik, sukan dan pemotoran sukan, percetakan, muzik, budaya dan perlancongan. Apabila semua elemen ini digabungkan dengan jaringan yang betul, ia mampu membuka lebih banyak peluang untuk produk yang lahir dari Perlis diperkenalkan kepada pasaran yang lebih luas.
“Gabungan elemen tersebut berpotensi mewujudkan pengalaman baharu yang bukan sahaja mempromosikan artis dan muzik, tetapi turut mengetengahkan destinasi, budaya, produk tempatan serta identiti negeri Perlis,” katanya.-UTUSAN











