Makan Malam Amal Legends kembali ke Sabah, bantu penggiat seni - Utusan Malaysia

Makan Malam Amal Legends kembali ke Sabah, bantu penggiat seni

Makan Malam Amal Legends
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Makan Malam Amal Legends kembali ke Sabah buat kali kedua bagi mengumpul dana untuk Tabung Kebajikan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), selain menghimpunkan penggiat seni dan barisan artis tempatan di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 6 November ini.

Memasuki siri kelima, acara berkenaan meneruskan usaha membantu karyawan dan penggiat industri seni yang memerlukan menerusi kutipan dana amal.

Presiden Karyawan, Dato’ Freddie Fernandez berkata, usaha membantu karyawan seni perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama kerana industri hiburan turut dibangunkan oleh individu di belakang tabir.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Industri seni bukan hanya terdiri daripada mereka yang berada di atas pentas. Di belakang setiap persembahan terdapat begitu ramai karyawan yang bekerja keras daripada pemuzik, kru teknikal, penulis, penerbit, pekerja produksi sehinggalah mereka yang berada di belakang tabir.

“Melalui Makan Malam Amal Legends, kami mahu menggunakan kekuatan industri hiburan untuk mengumpul dana dan membantu karyawan yang memerlukan.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama untuk menjaga mereka yang telah menyumbang kepada perkembangan seni dan hiburan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Freddie turut menyambut baik penganjuran kali kedua di Sabah yang disifatkan sebagai peluang untuk mengeratkan hubungan dengan komuniti seni di negeri itu.

Pemilihan Sabah sebagai lokasi turut memberi tumpuan kepada penggiat dan artis tempatan, sekali gus menghargai bakat dari negeri itu yang turut mewarnai industri seni tanah air.

Acara yang memasuki siri Kelima itu bakal menghimpunkan nama-nama besar industri hiburan tanah air bersama barisan artis generasi baharu dalam satu pentas istimewa.

Antara artis yang bakal menjayakan acara berkenaan ialah Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Zainal Abidin, Dato’ Khadijah Ibrahim, Datin Sa’adiah, Bella Astillah, Velvet Aduk, Ayu Damit dan Hairee Kool.

Turut membuat penampilan istimewa ialah K.O.I, juara Anugerah Juara Lagu 2026.

Makan Malam Amal Legends turut membuka peluang kepada syarikat korporat dan rakan industri untuk menyumbang kepada Tabung Kebajikan Karyawan bagi membantu golongan karyawan yang memerlukan.

Harga meja bermula RM3,000 untuk pakej Bronze bagi 10 orang sehingga RM100,000 untuk pakej Diamond, manakala tiket individu berharga RM300 seorang.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Dato’ Khadijah Ibrahim menerusi talian 016-233 8888

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×