BAITULMUQADDIS: Perkhidmatan pemetaan awam rasmi Israel secara tidak sengaja mendedahkan imej satelit beresolusi tinggi yang menunjukkan lokasi ketenteraan dan kemusnahan besar-besaran di utara Gaza.
Imej tersebut disiarkan menerusi GovMap, sekali gus menjadi antara kesilapan jarang berlaku dalam kawalan ketat Israel terhadap bahan visual berkaitan perang.
Kesilapan itu dikesan pada Isnin oleh akaun X, @Stinky915846091, yang menumpukan kepada perisikan sumber terbuka dan kerap menentukan lokasi geografi bagi insiden-insiden di Gaza.
Bagaimanapun, kerajaan Israel kembali mengaburkan imej seluruh kawasan Gaza di laman web rasmi berkenaan.
Menurut Middle East Eye (MEE), GovMap sebelum ini mengaburkan seluruh Gaza, selain pangkalan tentera dan lokasi sensitif lain di Israel serta Tebing Barat yang diduduki.
Imej yang tidak dikaburkan itu meliputi beberapa kawasan di utara Gaza, termasuk , Beit Lahia dan Beit Hanoun yang paling teruk terjejas akibat perang sejak Oktober 2023.
Imej tersebut adalah dari tahun 2025 dan tidak semestinya menggambarkan keadaan semasa pangkalan tentera terbabit. Namun, imej itu menunjukkan kemusnahan meluas serta sekurang-kurangnya 11 lokasi tentera Israel dalam zon penampan.
MEE bagaimanapun tidak mengesahkan imej itu secara bebas, namun mendakwa ia selari dengan laporan terdahulu yang mendokumentasikan skala kehadiran tentera Israel di wilayah tersebut serta tahap kemusnahannya.
Israel membunuh sekurang-kurangnya 73,928 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 175,030 yang lain sejak konflik di Gaza bermula, termasuk 1,408 kematian dan lebih 4,916 kecederaan sejak gencatan senjata pada Oktober tahun lalu.
Sementara itu, penilaian bebas mendapati lebih 80 peratus bangunan di Gaza mengalami kerosakan atau musnah sejak Oktober 2023, termasuk rumah, sekolah, hospital dan infrastruktur penting.











