Menang melawan asap

Menang melawan asap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Asap yang tebal di hadapan mukanya dikipas pergi. Sesekali pandangannya yang dihalang asap itu kembali terang sedikit. Sekejap kemudian ia kembali kelabu dihadang asap. Biasanya dia boleh melihat hingga ke seberang jalan sana. Namun kini pandangannya tertahan dek asap dan jerebu tebal yang membungkus.

“Kalau keadaan begini bertambah buruk, mungkin sekolah akan tutup,” suara seorang lelaki berkemeja di belakangnya menyapa telinga. Dua butang teratas kemejanya dilepas.

Hambali terus mengipas asap tebal dan wangi di hadapan. Kemudian dia menterbalikkan lima batang sate sekali gus dengan sebelah tangan. Dek lenguh kerana asyik mengipas, dia berhenti sebentar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau sekolah tutup, alamatnya budak-budak terpaksa belajar atas talianlah. Macam ketika Perintah Kawalan Pergerakan dulu,” kata lelaki itu lagi.

Hambali mendengar saja semua yang diucapkan lelaki itu sambil dalam kepala terbayang anaknya yang melalui sesi pembelajaran atas talian beberapa tahun lepas. Kebanyakan masanya tidak boleh fokus dengan sesi pembelajaran. Malah, anaknya yang ketika itu sedang berada di Darjah Satu, amat lambat menangkap kebolehan membaca. Mujur kini setelah lima tahun, anaknya sudah boleh belajar secara normal walaupun tidak begitu cerdik seperti pelajar kelas hadapan.

Namun kalau diteruskan juga pembelajaran atas talian, dia tidak yakin anaknya akan dapat belajar banyak. Silibus pelajaran semakin susah. Dahulu, boleh juga diajar baca kira. Kini, dia pun merangkak ingin mengajar apa yang termaktub di buku teks anaknya.

“Harapnya tidak sampai begitulah,” balas Hambali lalu tangannya kembali ligat mengipas asap yang lahir dari pembakaran arang di hadapannya.
“Itulah, aku harap begitu juga. Anak aku itu, pantang nampak gajet. Ada saja perkara dibuatnya. Selalu sahaja bermain permainan videolah. Kalau tidak pun, dia tonton video di Youtube,” balas lelaki itu.

Anak Hambali tidak begitu. Masalahnya bukan permainan video atau video atas talian. Anaknya bukan kemaruk internet. Hanya sahaja, capaian internet di rumahnya agak perlahan dan kadang, apa yang diajar guru tidak dapat ditangkap. Itu yang dirisaukan Hambali kini.

Lagipun, peranti telefon anaknya itu sudah tua. Mungkin sudah lebih enam tahun. Sudah lembab dan banyak meragam. Semakin jenuhlah anaknya kelak untuk menyiapkan kerja-kerja yang diberi guru.

Namun kalau sudah termaktub begitu peraturannya, apalah daya Hambali untuk melawan? Terpaksa juga dia mengeluarkan modal untuk membiayai internet anaknya belajar dan kalau benar peranti telefon anaknya sudah nazak benar, dia akan keluarkan juga duit untuk membeli telefon baharu. Semua demi memastikan anaknya dapat pendidikan yang mencukupi.

Hal jerebu dan pencemaran udara sekarang memang bukan hal remeh.

Diterbalikkan lagi cucuk-cucuk sate yang sedang dibakar. Sudah masak. Empat puluh cucuk seperti yang diminta lelaki di belakangnya. Dimasukkan ke dalam plastik. Kemudian dibungkus dengan beberapa ketul nasi impit dan sebungkus kuah kacang.

Pesanan dan duit bertukar tangan. Lelaki itu kemudian masuk ke perut kereta Toyota Corollanya dan memecut pergi. Meninggalkan asap kereta yang bergaul dengan asap jerebu dan asap arang di kedainya.
***
Rambut, tangan, badan dan seluruh pakaiannya habis berbau hangit asap dari arang membakar sate bercampur asap kereta dan hamis keringat. Sehabis kerja malam itu, dia terus pulang ke rumah dengan motosikal cabuknya. Isteri dan anak sudah sedia di meja makan. Tidak sempat membersihkan diri, Hambali menyertai keluarga makan malam.

Waktu dia sampai, anak dan isteri sudah di suapan-suapan terakhir. Dia faham sahaja kerana sudah agak lewat untuk makan malam.
Bungkam. Masing-masing khusyuk dengan makanan di hadapan. Dalam kepala Hambali, bermain-main perihal perniagaan hari ini. Orang tidak ramai membeli satenya. Mungkin tidak sampai 200 cucuk. Selepas beberapa suapan isterinya membuka bicara.

“Saya dengar, Kementerian Pendidikan beri kelonggaran untuk pelajar ambil cuti kalau jerebu kian buruk.”

Hambali dengar sahaja. Namun dalam kepala, dia terfikir tentang nasib anaknya kelak.

Bagaimana kalau anaknya tertinggal pelajaran? Adakah pihak sekolah akan adakan alternatif pembelajaran atas talian untuk pelajar yang mengambil cuti? Patutkah anaknya ini dicutikan?

Dia merenung anaknya yang darjah lima itu. Ralit menyuap makanan.

“Keadaan sekarang teruk, bang. Anak kita ada semput,” kata isterinya lagi.

Hambali tahu semua itu. Anak itu anaknya juga. Cuma dia sebagai bapa perlu menimbang semua kemungkinan.

“Kita cutikan anak kita esok ya?” Tanya Si Isteri.

Dek tidak boleh membuat keputusan malam itu, dia hanya balas:

“Kita tengok keadaan esok macam mana.”

Dalam hati, dia mula rimas dengan hangit asap yang melekat di badannya.
***

Malam itu, selepas membersihkan diri, Hambali dan isteri kembali sibuk di dapur. Hambali memotong ayam kecil-kecil buat dijadikan sate. Selepas itu dicampur pula perapan yang mengandungi rempah dan segala perkakas seperti serai, halia dan lain-lain. Mujur tidak banyak ayam perlu dia potong, baki dari jualan tadi masih ada disimpan di dalam peti. Masih boleh dijual esok.

Ayam-ayam yang sudah diperap, disimpan ke dalam peti ais. Esok akan dicucuk satu per satu ke dalam lidi. Satu cucuk dalam lima ketul kecil ayam dicampur lemak dan kulit. Dia juga merebus nasi impit beberapa bungkus untuk esok.

Mujur juga Hambali tidak keseorangan. Ada isteri yang sanggup bersusah payah dengannya. Isterinyalah yang memasak kuah kacang buat dimakan bersama sate. Kacang yang sudah disangai dan dibuang kulit itu dikisar halus. Kemudian dimasak pula sehingga menjadi kuah kacang yang likat keperangan.

Sehingga ketika malam sudah agak lewat, mereka suami isteri masuk ke kamar. Hambali menghempas badannya ke kasur. Di perbaringan, dia memandang ke kiri ke kanan sehingga isterinya bertanya jika ada apa-apa masalah.

“Saya bau asap,” beritahu Hambali.

“Mungkin dari pakaian awak,” jawab isterinya.

Hambali lihat ke penjuru kamar, bakul baju kotor duduk elok di situ. Di puncak pakaian kotor, ada baju yang dipakai tadi sewaktu berniaga. Mungkin itulah punca asap yang dia bau.

Hambali hairan, selama ini bau asap tidak sekuat ini. Namun dipersetankan sahaja dek tubuh yang sudah terlampau lelah.

Dia tidak pernah menyukai hangit asap sama ada asap pembakaran sampah, asap rokok, asap kilang mahupun asap yang mendatangkan rezekinya saban hari: asap arang pembakar sate. Awal-awal dahulu, ketika dia membuat keputusan untuk menjadi seorang penjual sate, alah juga. Dia memang tidak boleh terbau asap yang tebal.

Namun digagahkan juga dek tiada jalan lain yang difikirkan boleh mendatangkan rezeki. Kerana tiada kelulusan pendidikan yang tinggi, Hambali belajar menjual sate daripada seorang kawan. Kawan itulah yang mengajarnya cara memotong, memerap dan menyusun ketul ayam pada lidi. Sejak itu, rezekinya mula berdatangan. Setelah bertahun mencuba pelbagai cara mencari rezeki dan bertemu kegagalan, hanya menjadi penjual sate sahajalah yang betul-betul menjamin kehidupannya. Dek rezeki menjual sate juga dia mampu berkeluarga.

Kini setelah bertahun bekerja sebagai pembakar dan penjual sate, Hambali akhirnya biasa juga. Asap itu semakin diterima dari sehari ke sehari.

Di atas katil, dia berguling ke kiri, kemudian ke kanan dan ke kiri semula. Mata tidak mahu lelap walaupun badan sudah terlalu penat. Nafasnya sesak dengan bau hangit asap.

Dalam kepala bermain pula hal jerebu dan pendidikan anaknya. Jika keadaan kian membarah, bagaimana dengan nasib anaknya itu. Adakah dia boleh belajar dengan elok? Dapatkah dia menuntut ilmu dengan berkesan?

Bagaimana pula dia? Hambali membuat kira-kira tentang simpanan yang ada. Mengira wang yang perlu dibelanjakan untuk telefon bimbit baharu buat anaknya, bil internet yang juga pasti melambung kelak. Hambali jadi runsing.

Dengkur halus isterinya kedengaran. Badannya berpusing ke kanan menghadap wanita yang dinikahi sejak bertahun itu. Mujur Tuhan mengurniakan rezeki seorang isteri yang baik. Yang sanggup bersusah payah dengannya walaupun pendapatan tidak tentu, ada pasang surut.

Mujur isterinya ada, kalau tidak, pasti dia tidak menang tangan dengan hal penjualan, terutama sekali perihal kuah kacang. Isterinya cukup pandai merasa. Dia tahu apa yang kurang, garam, gula, cili semua adalah kemahirannya.

Bahu isteri yang sedang lena didakap. Di telinga wanita itu, Hambali bisikkan kalimah terima kasih. Wajah didekatkan ke bahunya. Isterinya wangi. Tadi selepas selesai persiapan untuk jualan esok, dia sempat membersihkan diri. Hambali pula, terus ke katil.

Namun hanya sekejap wangi itu menyapa hidungnya, bau hangit asap kembali mencucuk. Hambali berguling semula ke tempatnya. Selimut dicapai lalu ditutup muka dengan harapan bau asap akan hilang. Tidak juga.

Mata semakin pedih dek kantuk tapi benar-benar Hambali tidak boleh lelap.

Dia teringat permintaan isterinya supaya anak mereka mengambil cuti. Bagaimana nanti pelajaran anaknya kalau dia bercuti? Adakah isterinya akan mengajar? Tidak juga, mereka suami isteri sudah cuba. Tapi silibus Darjah

Lima sudah tidak mampu mereka kuasai. Tambah tolak darab bahagi, apatah lagi Bahasa Inggerisnya.

Kalau dia punya duit yang banyak, hal ini pasti tidak menjadi masalah. Dia memikirkan lelaki yang datang ke gerainya petang tadi. Lelaki itu tidak terlalu risau tentang anaknya. Hanya memikirkan jika dia tidak fokus ketika pembelajaran atas talian sahaja. Lagipun, lelaki itu pasti ada jalan penyelesaian. Anak itu boleh dihantar ke kelas tambahan luar.

Tidak sedikit pun lelaki itu terganggu dengan jerebu, fikir Hambali. Dia punya kereta mewah, berpendingin hawa. Melihatkan pakaian lelaki itu, pasti dia bekerja di sebuah pejabat yang selesa dan sejuk berpendingin hawa.

Jika keadaan jerebu membarah sekalipun, hanya perlu dihadapi sebentar ketika dalam perjalanan ke pejabat. Bahang cuaca sekarang pun pasti tidak akan menembus ke pejabat lelaki itu.

Berbeza dengan Hambali. Jerebu setebal mana pun akan tetap juga diredah. Gerai tetap perlu didirikan. Meski panas sehingga ke malam pun, akan tetap Hambali depani demi mencari rezeki buat keluarga.

Kalau nanti dia terbatuk-batuk dek asap jerebu pun, akan digagahkan juga. Dia sudah masak dengan asap sejak membuat keputusan menjadi penjual sate. Setakat asap jerebu, dia tidak alah.

Anaknya pula, seorang anak kepada penjual sate. Tidak boleh juga dia kalah dengan asap. Dek asap itulah punca rezeki mereka sekeluarga.

Malam kian larut, begitu juga Hambali dengan fikirannya. Meski bau hangit asap tetap mencucuk hidung, akhirnya dia dibuai lena setelah berjam-jam berguling di atas katil.

Tidur Hambali tidak lama. Azan berkumandang beberapa jam kemudian. Hambali bingkas ke tandas. Dia mengambil wudhu dan menunaikan solat sunat qabliah subuh. Mencari keberkatan untuk hidupnya hari itu. Kemudian dengan motorsikal, dia ke surau tidak jauh dari rumah untuk berjemaah subuh.

Sekembalinya ke rumah, Hambali mengejut seisi keluarga. Dikejutkan isteri dan anaknya yang masih pulas tidur. Dalam mamai, anaknya bertanya jika dia perlu pergi ke sekolah atau tidak hari itu. Hambali lekas-lekas menyuruh anaknya mandi dan bersiap.

Dia ke kamar, mencari sesuatu yang telah lama disimpan. Segala laci dalam semua almari dibuka. Pagi itu dia kalut benar. Setelah beberapa minit pencarian, akhirnya dia berjaya.

Kembali ke kamar anaknya, gadis kecil itu sudah siap berpakaian sekolah. Lantas Hambali menyerahkan sesuatu dari tangannya.
Sebuah penutup muka.

“Anak penjual sate tidak boleh kalah dengan asap,” kata Hambali kepada anaknya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×