IPOH: Pemandu kereta yang melanggar seorang anggota polis trafik ketika cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya Khamis lalu, direman lima hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, suspek berusia 29 tahun itu direman bermula hari ini hingga Rabu depan bagi membantu siasatan.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini dan mahkamah membenarkan lelaki itu direman selama lima hari bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas perkembangan siasatan, Muhammad Najib memberitahu, pihaknya sedang mengesan saksi bebas dan mendapatkan rakaman kamera papan pemuka kenderaan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, mengulas mengenai keadaan anggota polis trafik berkenaan, Muhammad Najib berkata, anggota terbabit kini ditidurkan selepas menjalani pembedahan selama kira-kira tujuh jam yang selesai pada pukul 6 pagi tadi.
“Anggota terbabit mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan akibat kemalangan tersebut,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, Lans Koperal Muhammad Badrul Izwany Pauzi, 29, patah tangan kiri dan kaki kanan selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Jalan Silibin.
Anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu dilanggar suspek yang membuat pusingan U secara tiba-tiba di kawasan lampu isyarat berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak.
Suspek yang kemudian melarikan diri ke arah Gunung Lang dan memandu melawan arus bagaimanapun berjaya ditangkap selepas kereta dipandunya terbabas di kawasan lampu isyarat Taman Wing Onn.
Semakan awal mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh selain positif dadah jenis methamphetamine. – UTUSAN











