Undang-undang antarabangsa bukan pilihan sesuka hati

Undang-undang antarabangsa bukan pilihan sesuka hati

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Undang-undang antarabangsa tidak boleh menjadi pilihan yang boleh ditolak sesuka hati dan diterima hanya apabila ia menguntungkan pihak tertentu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jika sistem keadilan mahu terus kekal relevan dan berfungsi, budaya impunity tidak boleh dibiarkan berterusan, sebaliknya prinsip kebertanggungjawaban mesti ditegakkan.

“Mempertahankan undang-undang antarabangsa bukan soal memilih pihak,” katanya ketika menyampaikan ucapan intervensi di New York, Amerika Syarikat (AS).

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohamad hadir pada Mesyuarat Luar Biasa Menteri Luar Kumpulan Hague bagi Mempertahankan Undang-undang Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ke-81.

Mohamad berkata, usaha mempertahankan tatanan berasaskan peraturan perlu diteruskan, iaitu susunan, aturan, sistem atau struktur yang mengatur sesuatu dengan memastikan tiada negara berada di atas undang-undang dan hak rakyat tidak ditentukan berdasarkan kepentingan politik semata-mata.

Beliau berkata, masyarakat antarabangsa seharusnya berusaha memperkukuh, bukannya melemahkan sistem multilateral.

Katanya, PBB kekal sebagai tonggak utama yang menjadi landasan kepada kerjasama masyarakat antarabangsa.

“Apabila sistem ini dilemahkan akibat kegagalan bertindak atau kebuntuan politik, kita perlu berusaha memperkukuh asasnya melalui tindakan yang berprinsip dan berlandaskan undang-undang,” katanya.

Tegasnya, bagi rakyat Palestin, prinsip itu bermaksud mempertahankan hak mereka yang tidak boleh dinafikan, termasuk hak untuk menentukan nasib sendiri.

Katanya, ia termasuk menyokong penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Tambahnya, Kumpulan Hague diwujudkan kerana prinsip yang hanya tercatat di atas kertas tidak membawa sebarang makna tanpa penguatkuasaan.

“Malaysia menyertai inisiatif ini atas rasa tanggungjawab yang menuntut tindakan kolektif dan konsisten yang berteraskan undang-undang antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×