PETALING JAYA: Kepemimpinan tertinggi dan pengurusan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak meremehkan peranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menggantung semua kegiatan gabungan politik itu.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, adalah tidak wajar pemimpin PN mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas terhadap RoS yang telah berulang kali memberikan peringatan berhubung aktiviti pertubuhan tersebut.
“Saya telah memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat RoS dan menerangkan asas aduan yang dibuat pada 11 Ogos 2026.
“Kepimpinan tertinggi dan pengurusan PN digesa tidak meremehkan peranan RoS dengan mengeluarkan dakwaan yang tidak berasas terhadap jabatan berkenaan.
“RoS telah berulang kali memberi peringatan secara bertulis kepada PN supaya semua aktiviti pertubuhan dijalankan selaras dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan PN.
“Bersatu akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab untuk memelihara Perlembagaan PN dan memastikan perjalanan parti ini adalah telus, berintegriti serta menjunjung prinsip kebertanggungjawaban,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, RoS mengesahkan mengeluarkan perintah penggantungan di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 yang menggantung semua kegiatan PN berkuat kuasa 23 September 2026.
Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, tindakan RoS itu adalah susulan aduan yang dikemukakan Bersatu pada Ogos lalu yang antara lain membabitkan dakwaan pelanggaran Perlembagaan PN berhubung penglibatan Bersatu dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu pada 16 Julai lalu.
Menurutnya, Bersatu turut membangkitkan isu kedudukan keanggotaan parti itu dalam PN serta dakwaan kewujudan kuasa veto yang mempengaruhi keputusan Majlis Tertinggi.
“Bersatu telah membuat aduan bertulis pada 11 Ogos kepada RoS berkenaan pelanggaran perlembagaan PN oleh kepimpinan baharu PN.
“Aduan tersebut antara lain menyebut bahawa Bersatu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 serta isu berkaitan kedudukan keanggotaan Bersatu dalam gabungan PN,” katanya.
Jelasnya, tindakan menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi adalah bercanggah dengan Fasal 7.1 Perlembagaan PN.
Katanya, Bersatu juga telah mengemukakan aduan berhubung kewujudan ‘kuasa veto’ yang didakwa mempengaruhi keputusan dibuat Majlis Tertinggi PN.
Katanya, terdapat individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN didakwa mengeluarkan kenyataan berbentuk ancaman dan tekanan untuk melucutkan atau menggugurkan Bersatu sebagai parti anggota yang sah dalam PN.
“Amalan ini bercanggah dengan kuasa yang diberikan kepada Majlis Presiden PN di bawah Fasal 7A.1(c) Perlembagaan PN,” katanya.-UTUSAN.











