PETALING JAYA: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim didesak untuk menjelaskan sama ada keputusan menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Penasihat Undang-Undang Negeri sudah ditarik balik atau sebaliknya.
Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kenyataan terbaharu Ismail bahawa kedudukan kedua-dua pegawai itu perlu diselesaikan melalui proses undang-undang dan pentadbiran masih belum menjawab persoalan utama berhubung status keputusan penggantungan yang diumumkan kerajaan negeri pada 22 September lalu.
“Apakah keputusan penggantungan itu sudah ditarik balik? Kalau belum, apa gunanya mengambil maklum bahawa kuasa itu terletak pada pihak lain tetapi keputusan yang dibuat tanpa kuasa masih mahu dikekalkan?” katanya dalam video yang dimuat naik hari ini.
Pada 22 September lalu, Ismail mengumumkan keputusan sebulat suara Mesyuarat Khas Exco untuk menggantung tugas SUK, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.
Jabatan Peguam Negara kemudian menyatakan tindakan itu tidak sah dan mengarahkan kedua-dua pegawai berkenaan meneruskan tugas seperti biasa.
Dalam kenyataan berikutnya, Ismail berkata kerajaan negeri mengambil maklum mekanisme pelantikan jawatan utama berkenaan serta pendirian pihak berkuasa berkaitan.
Menurut beliau, sebarang persoalan mengenai kedudukan pegawai terbabit perlu diselesaikan menerusi proses undang-undang dan pentadbiran yang sewajarnya.
Tengku Zafrul menyambut baik pengakuan mengenai proses berkenaan, namun menegaskan keputusan sebulat suara Exco atau mandat pilihan raya yang besar tidak dengan sendirinya memberikan kuasa untuk menggantung pegawai sekiranya kuasa itu tidak diperuntukkan undang-undang.
“Sebulat suara bukan lesen untuk buat sesuka hati. Majoriti dua pertiga pun bukan lesen untuk melangkaui undang-undang,” katanya.
Beliau turut membangkitkan krisis politik Perak pada 2009 apabila Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, menggantung tugas pegawai kanan negeri.
Menurut Tengku Zafrul, Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, menegaskan Menteri Besar tidak mempunyai kuasa berkenaan dan perkara itu terletak di bawah pihak berkuasa tatatertib berkaitan.
Laporan pada 2009 merekodkan tindakan Nizar menggantung tugas SUK serta Penasihat Undang-Undang Negeri Perak.
Tengku Zafrul kemudian mempersoalkan mengapa pendirian Persekutuan dalam kes Perak ketika itu boleh diterima sebagai penegasan batas kuasa, sedangkan pendirian Jabatan Peguam Negara dalam isu Negeri Sembilan kini disifatkan sebagai campur tangan.
“Undang-undang tidak berubah mengikut parti yang memerintah Persekutuan. Dulu KSN menegaskan batas kuasa Menteri Besar di Perak, sekarang AGC menegaskan batas kuasa kerajaan negeri di Negeri Sembilan. Prinsipnya mesti konsisten,” katanya.
Beliau turut meminta Ismail menjelaskan sama ada terdapat dakwaan salah laku terhadap Mohd Zafir dan Muzalmah, proses tatatertib yang sudah dilalui serta pihak berkuasa yang membuat keputusan berkenaan.
“Jangan lemparkan bayangan bahawa dua pegawai kanan tidak profesional atau tidak neutral tanpa menyatakan kesalahan mereka dan memberi ruang untuk mereka menjawab,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, penjawat awam perlu diberi ruang untuk memberikan nasihat berdasarkan undang-undang, termasuk apabila nasihat berkenaan sukar diterima pemimpin politik.
Beliau berkata, rujukan kepada Ketua Setiausaha Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara atau suruhanjaya berkaitan merupakan sebahagian daripada proses pentadbiran bagi menentukan kedudukan kedua-dua jawatan berkenaan.-UTUSAN











