Tenis bukan sekadar aktiviti mengisi masa lapang buat penyanyi Indonesia, Fabio Asher, sebaliknya menjadi antara cara untuknya kekal cergas di sebalik jadual seni yang padat.
Meskipun lebih dikenali menerusi lagu-lagu bernuansa romantis dan patah hati, pelantun BertahanTerluka itu sebenarnya mempunyai sisi berbeza apabila tidak berada di atas pentas.
Sejak kecil, Fabio sememangnya gemar bersukan dan minat tersebut terus menjadi sebahagian daripada rutin kehidupannya sehingga kini.
“Saya mula bermain tenis dengan lebih serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada mulanya, sekadar suka-suka dan bermain bersama rakan-rakan, tetapi lama-kelamaan saya semakin ketagih dengan sukan ini.
“Bagi saya, tenis sukan yang sangat menyeronokkan. Selain memerlukan kekuatan fizikal, kita juga perlu fokus dan memikirkan strategi. Jadi, setiap kali bermain, sentiasa ada cabaran tersendiri,” katanya kepada Pancaindera.
Bukan sekadar menguji kemampuan fizikal, Fabio menganggap tenis sebagai ruang untuk mencabar dirinya supaya terus memperbaiki kemampuan selain menjadi terapi melepaskan tekanan.
“Saya sukakan semuanya tentang tenis. Tetapi mungkin perkara yang paling saya gemari adalah cabarannya. Setiap kali bermain, saya sentiasa mahu menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“Dalam masa sama, tenis juga menjadi salah satu cara untuk saya menyegarkan fikiran dan melepaskan tekanan. Saya pernah mempunyai jurulatih. Bagi saya, kalau kita hanya bermain sendiri, kadang-kadang kita merasakan teknik yang digunakan sudah betul, sedangkan sebenarnya masih banyak perkara yang perlu diperbaiki,” jelasnya.

Ditanya mengenai idolanya dalam sukan tersebut, Fabio memaklumkan dia amat meminati pemain legenda Switzerland, Roger Federer yang sememangnya hebat ketika beraksi di gelanggang
“Saya meminati Roger Federer. Bagi saya, cara dia bermain memang sangat hebat. Dia kelihatan begitu tenang dan seolah-olah tidak perlu menggunakan banyak tenaga, tetapi sebenarnya teknik serta kekuatan mentalnya sangat luar biasa,” kongsinya.
Tambah penyanyi lagu Rumah Singgah itu, jika diberi peluang memilih seorang pemain profesional untuk berkongsi gelanggang, juara Grand Slam sebanyak 20 kali itu adalah pilihan utamanya
“Saya memang sangat teringin untuk berada dalam satu gelanggang dengan beliau. Walaupun mungkin saya akan lebih banyak belajar daripada benar-benar mampu memberikan saingan kepadanya,” selorohnya.

Di sebalik keseronokan bersukan, Fabio mengakui pernah mengalami kecederaan ringan gara-gara terlalu leka bermain.
“Kadang-kadang apabila terlalu seronok bermain, saya terlupa masa dan terlupa bahawa badan juga memerlukan rehat. Jadi, sekarang saya lebih berhati-hati,” katanya.
Walaupun jadual sebagai penyanyi tidak menentu, Fabio seboleh-bolehnya akan mencuri masa di antara komitmen kerja untuk melakukan aktiviti fizikal secara konsisten demi memastikan tubuh terus aktif.
“Memang bukan selalu mudah kerana jadual saya agak padat dan sering berubah-ubah. Tetapi biasanya saya akan mencari masa di celah-celah pekerjaan.
“Tidak perlu terlalu lama, yang penting saya masih sempat bersukan dan memastikan badan sentiasa bergerak aktif. Sebagai penyanyi, bersukan sangat membantu saya mengekalkan stamina.
“Ketika berada di atas pentas, kami juga banyak bergerak dan memerlukan stamina yang baik. Jadi, apabila badan berada dalam keadaan cergas, saya dapat lebih menikmati persembahan dan memberikan yang terbaik di atas pentas,” jelasnya.
Bagi Fabio, bersukan bukan semata-mata untuk mendapatkan bentuk tubuh menarik, sebaliknya, kesihatan dan kecergasan menjadi keutamaannya.
“Saya lebih mementingkan aspek kesihatan dan kecergasan. Kalau bentuk badan menjadi lebih baik, itu saya anggap sebagai bonus. Apa yang paling penting adalah badan terasa cergas, mempunyai tenaga yang mencukupi dan saya boleh terus menjalani kehidupan secara aktif,” ujarnya.











