Maria Tunku Sabri ‘cari mangsa’ untuk layan sembang - Utusan Malaysia

Maria Tunku Sabri ‘cari mangsa’ untuk layan sembang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARIA Tunku Sabri mengumpul pengalaman selama bertahun-tahun, bermula sebagai penyampai program Nona yang kemudiannya diserap menjadi pembaca berita TV3.

Malah, beliau satu-satunya individu yang pada waktu itu dipilih Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dalam sesi temu duga Nona yang diadakan jalan Liku, Bangsar Kuala Lumpur pada 1993.

Pelbagai pengalaman menarik yang dilaluinya sewaktu awal bertugas dahulu. Antara yang tidak dapat dilupakannya apabila mendapat teguran daripada majikannya kerana tampil membaca berita dengan rambut kerinting ala kebasah-basahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengalaman menarik itu dirakamkan semasa saya membaca berita untuk slot pagi. Masa itu saya masih berkhidmat sebagai pramugari Malaysia Airlines (MAS).

“Rambut saya ketika itu panjang sampai ke pinggang, tetapi kerinting. Jurusolek, Laila Rohani ketika itu membuatkan kelihatan seperti kebasah-basahan.

“Tidak lama selepas slot berkenaan, jurusolek menerima panggilan telefon daripada bos yang mempersoalkan penampilan rambut yang katanya seakan-akan baru selesai mandi junub.

“Saya hanya mampu tergelak panjang. Sehingga sekarang saya dan jurusolek berkenaan masih berkawan baik,” katanya.

Selain itu, Maria juga pernah membaca berita dalam keadaan menggeletar sehingga hingus keluar meleleh gara-gara keadaan studio yang ketika itu terlalu sejuk.

“Hendak dibuat cerita, masa itu saya tidak membawa tisu, jadi hingus keluar meleleh dan saya terpaksa membaca berita dalam keadaan yang tidak selesa,” katanya lagi.

PRAMUGARI

Sebelum menceburkan diri dalam bidang penyiaran, Maria lebih dahulu berkhidmat bersama MAS sebagai pramugari penerbangan tersebut antara tahun 1988 hingga 1996.

Kepetahannya berkomunikasi sebenarnya dibentuk sejak zaman bekerja di awan biru lagi.

“Saya memang seorang suka bercakap. Jika penerbangan itu panjang, saya tidak akan tidur, malah mencari ‘mangsa’, lebih-lebih penumpang untuk mengajak mereka berbual.

“Apabila penumpang tersebut mengantuk, saya akan cari penumpang lain untuk diajak bersembang,” kongsinya.

Disoal mengenai pengalaman menakutkan, Maria berkata kejadian ketika penerbangan terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kerana cuaca buruk antara yang masih diingat sampai sekarang.

“Kejadian berlaku tidak lama selepas pesawat berlepas, ketika itu anak-anak kapal sedang bersiap untuk menyediakan makan minum buat penumpang.

“Namun disebabkan cuaca yang tersangat buruk, kami terpaksa berpatah balik. Penumpang ketika itu berada dalam keadaan ketakutan. Namun duduk di tempat masing-masing mengenang keselamatan nyawa mereka.

“Sebagai pramugari pula kami sudah bersedia mengucap dua kalimah syahadah supaya apa-apa terjadi kita dalam keadaan yang sudah sedia mengucap,” ujarnya.

‘RUMAH KATA PERGI, KUBUR KATA MARI’

Maria merupakan wanita kental. Namun apabila dihujani dengan komen jahat pengguna media sosial, dia tetap terasa.

Pelbagai komen yang diterima semasa penyertaan dalam program Kilauan Emas Selebriti kelolaan Astro. Disebabkan kelincahannya beraksi di pentas, Maria menerima pelbagai kecaman.

“Mereka tidak kumpul pahala, tetapi dosa. Selama ini saya cuba untuk sekolahkan netizen. Mereka suka cakap ikut tekak mereka.

“Nabi Muhammad bersabda, nasihat orang jangan sampai mengaibkan. Dalam keadaan kita sekarang ini, nasihat orang bukan secara terbuka di media sosial, baiknya adalah mesej secara peribadi sahajalah.

“Tapi netizen ini mungkin tak pelajaran tinggi, bila ditegur tak terima. Saya biarkan mereka larut dalam dosa-dosa mereka. Saya terkesan apabila ada yang komen ‘rumah kata pergi, kubur kata mari.’

“Program Kilauan Emas Selebriti itu rancangan amal. Cuma penyampiannya dalam bentuk hiburan. Kami ada matalamat yang kami hendak capai, iaitu menyumbang kepada artis veteran yang memerlukan,” ujarnya.

Maria memaklumkan beliau sudah lama menganjurkan kerja kebajikanya sendiri malah sebelum mengikuti Kilauan Emas, beliau menggerakkan tabung untuk membantu membabitkan pelajar tahfiz, rumah anak yatim dan sebagainya.

“Contoh, kalau ada anak yatim yang diterima masuk ke UiTM, mereka perlukan dana untuk beli laptop dan jelaskan yuran. Saya akan ajak kawan-kawan yang terdiri daripada usahawan untuk kutip dana dan sumbangkan kepada mereka. Begitu juga individu yang menghadapi kesusahan contohnya pemandu Grab memerlukan, saya bantu dia.

“Saya memang akan sentiasa terlibat. Perkara ini saya tidak ceritakan kepada wartawan. Tapi sudah ditanya, makanya saya jelaskan,” katanya.

ZALINA AZMAN

Maria menyifatkan Zalina sebagai ketua yang baik dan banyak membantunya ketika dia mula-mula masuk ke bidang penyiaran satu masa dulu.

“Kami kenal namun tidak rapat. Dia seorang bos yang baik, semasa saya mengalami pendarahan pada tahun 1990-an, dia telah mengarahkan untuk slot baca berita yang saya kendalikan diganti dengan pembaca lain, dan kemudian menguruskan hal ehwal penghantaran saya ke hospital Hospital Pantai.

“Malah setiap kali saya buat rumah terbuka, dia antara tetamu yang selalu datang.

“Dia sebenarnya mudah didekati. Jadi, dia antara pendengar yang baik bila mana saya ingin meluahkan atau menceritakan masalah saya.

“Cuma saya kurang bercakap dengannya selepas dia berhenti Media Prima, berkahwin, mempunyai anak dan berpindah keluar negara. Saya puas berfikir ke mana hilangnya dia. Cuma ada juga cerita-cerita tentangnya yang saya dengar. Saya tidak pasti sama ada cerita itu benar atau tidak,” kongsinya.

Maria dimaklumkan Zalina tidak lama sebelum hilang, pernah membawa keluarganya mengikuti percutian menaiki kapal persiaran.

“Pada tahun lepas saya berjumpa dengan sepupunya di sebuah majlis perkahwinan. Dia kata sebelum hilang, Zalina belanja saudara maranya bercuti di atas kapal persiaran.

“Bila selesai percutian itu terus dia hilang. Setakat ini kami hanya menunggu berita terbaharu daripada Senator Raz Adiba Radzi. Polis pun tidak tahu tentang keberadaan beliau.

“Tapi saya amat terkesan apabila melihat video mengenai kediamannya yang tidak terjaga. Saya terfikir tidakkah anak-anaknya menjaga rumah beliau, kunci dan sebagainya. Ibaratnya rumah itu dibiarkan terbiar begitu sahaja,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×