Resepi ekonomi PM letak Malaysia antara enam APAC atasi gergasi China - Penganalisis

Resepi ekonomi PM letak Malaysia antara enam APAC atasi gergasi China – Penganalisis

ANWAR Ibrahim dan Li Qiang ketika hadir pada majlis perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou, China. - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dengan pelaksanaan dasar ekonomi yang mampan, kestabilan politik dan kempen anti-sakau yang dilaksanakan sejak 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya meletakkan Malaysia sebagai antara enam ekonomi utama Asia Pasifik (APAC) daripada sekitar 40 negara dalam rantau yang sama.

Pensyarah Kanan (Ekonomi) Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Selangor, Nurul Ainun Ahmad Atory berkata, unjuran ini memberikan isyarat positif terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Katanya, berdasarkan laporan Moody’s Analytics, Malaysia merupakan antara enam ekonomi Asia Pasifik yang dijangka mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar lebih pantas berbanding China pada 2026, disokong penglibatannya dalam rantaian bekalan kecerdasan buatan (AI).

“Namun, perbandingan ini merujuk kepada kadar pertumbuhan, bukan bermaksud saiz ekonomi atau keupayaan teknologi Malaysia telah mengatasi China.

“Ia juga masih merupakan unjuran yang tertakluk kepada perkembangan ekonomi global.

“Kestabilan politik, kepastian dasar dan tadbir urus yang baik boleh menyokong keyakinan pelabur,” katanya hari ini.

NURUL AINUN AHMAD ATORY

Nurul Ainun berkata, usaha membanteras rasuah pula penting untuk mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan penggunaan sumber.

Bagaimanapun, katanya, prospek pertumbuhan perlu dilihat secara menyeluruh, dengan mengambil kira permintaan dunia, peranan sektor swasta serta keupayaan industri yang dibangunkan dalam jangka panjang.

Dalam konteks kerjasama ekonomi dengan China termasuk susulan lawatan Perdana Menteri, beliau berkata, tumpuan perlu diberikan kepada pelaburan yang benar-benar direalisasikan.

“Manfaatnya perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi dan peluang perniagaan kepada perusahaan tempatan.

“Pembangunan modal insan dilihat sebagai penghubung penting antara pelaburan dengan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kita mahu graduan dan pekerja tempatan berpeluang membina kepakaran serta memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Kerjasama universiti, institusi TVET dan industri perlu diperkukuh supaya kemahiran yang dibangunkan sepadan dengan keperluan pekerjaan.

“Pertumbuhan ekonomi akan menjadi lebih bermakna apabila rakyat dapat merasainya melalui pekerjaan yang baik, pendapatan yang mampu menampung keperluankeluarga dan peluang yang lebih luas untuk anak-anak mereka.

“Inilah ukuran yang perlu diberi perhatian apabila kita menilai kejayaan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×