UMNO perlu tentukan arah di Pulau Pinang

UMNO perlu tentukan arah di Pulau Pinang

UMNO Pulau Pinang perlu menilai semula hala tuju kerjasama politiknya supaya pendirian parti lebih jelas dan sokongan orang Melayu dapat diperkukuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EPISOD penghinaan yang dilontarkan penasihat DAP, Lim Guan Eng terhadap parti keramat orang Melayu seperti UMNO amat memalukan serta sesuatu yang tidak pernah diduga.

Ada juga kebenarannya kritikan sedemikian dilontarkan atas dasar kemunasabahan, bilamana sebuah parti rakan gabungan dalam kerajaan negeri boleh secara terang-terangan membuat percaturan politik dengan mewujudkan elemen jajaran baharu bersama pihak lain.

Tuduhan seperti UMNO sudah tiada nilai, musuh dalam selimut dan lainnya yang kurang enak didengar wajar dipandang serius jika UMNO berhasrat untuk mengembalikan sokongan orang Melayu di negeri ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Umum memahami pandangan serta teguran keras daripada Guan Eng adalah kerana beliau khuatir sokongan masyarakat Cina akan merosot teruk jika DAP masih bersekongkol dengan UMNO dalam kerajaan negeri.

Walaupun dari sudut sejarah kedua-dua parti dahulunya merupakan musuh tradisi, namun mereka sanggup mengetepikan sejarah hitam demi mendapatkan kuasa politik dengan bekerjasama selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekalipun dikatakan tiada elemen keikhlasan.

Maka, selepas tiga tahun, rakyat sedang didendangkan dengan sandiwara politik kebencian sesama mereka yang akhirnya hanya merugikan rakyat sebagai pengundi.

Dalam situasi terbaik buat masa ini, UMNO wajar mengelak serta bebas daripada tuduhan ‘bermain dua kolam’ ketika masih bersama kerajaan hari ini. 

Justeru, dalam situasi yang dikatakan sedang melonjak dengan kemaraan gelombang biru dan hijau, adalah lebih afdal jika kerjasama politik dengan Pas diberikan keutamaan bagi tujuan menggamit kembali sokongan orang Melayu di negeri ini.

Justeru itu, kajilah kembali kedudukan Barisan Nasional (BN)/UMNO yang hanya mempunyai dua daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kerajaan Pulau Pinang sebelum sampai ke tahap ‘pengusiran’ oleh DAP/Pakatan Harapan (PH). –UTUSAN

 

RAHMAD ISAHAK

Aktivis politik

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×