SEOUL: Korea Utara akan mengekalkan senjata nuklearnya ‘selamanya’, tegas Menteri Luarnya pada Khamis sambil menolak gesaan terbaharu Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung supaya Semenanjung Korea bebas nuklear.
Pyongyang mengiktiraf statusnya sebagai negara bersenjata nuklear dalam undang-undang, dengan kepimpinannya berulang kali menyatakan senjata nuklearnya adalah kekal dan tidak boleh diubah.
Kenyataan Menteri Luar Korea Utara, Choe Son Hui itu dibuat sehari selepas Jae Myung memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beliau mahu menghentikan peningkatan keupayaan senjata Pyongyang dan akhirnya mewujudkan Semenanjung Korea yang bebas daripada senjata nuklear.
“Saya menegaskan semula dan sekali lagi mengesahkan dengan sekeras-kerasnya pendirian teguh negara kami untuk mengekalkan senjata nuklear sepanjang zaman. Status nuklear negara itu tidak boleh diubah dalam apa jua keadaan dan akan kekal selama-lamanya.
“Kewujudan bersama antara konfrontasi dan dialog mungkin boleh dilaksanakan oleh pihak lain, tetapi ia tidak boleh dipertimbangkan oleh Korea Utara,” kata Son Hui, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi negara itu, Korean Central News Agency (KCNA).
Beliau berkata, status Korea Utara sebagai negara bersenjata nuklear adalah ‘kekal’, tanpa mengira apa yang dikatakan oleh kuasa-kuasa yang dianggap bermusuhan.
Di PBB, Jae Myung yang berulang kali berusaha menghidupkan semula dialog dengan Korea Utara, turut berkata, Korea Selatan akan meletakkan asas bagi menyambung semula dialog yang lama terhenti antara Pyongyang dan Washington.
Presiden Korea Selatan itu berkata, minggu lalu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump jelas mahukan dialog dengan Pyongyang.
Trump yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sebanyak tiga kali ketika penggal pertamanya berkata pada bulan lalu, beliau merancang untuk bertemu lagi pada penghujung tahun ini.
Dalam perkembangan berasingan pada Khamis, Pyongyang berkata, pihaknya menguji pelancar roket berganda terkawal 240 milimeter yang dinaik taraf pada 22 September.
KCNA melaporkan senjata itu mampu menyerang sasaran sejauh 115 kilometer.-AFP











