KUALA LUMPUR: Pelakon, Afieq Shazwan mengakui hampir menolak tawaran untuk menjayakan watak ‘lelaki lembut’ menerusi drama terbitan IQIYI Original Sekali Lagi Bahagia kerana bimbang akan persepsi penonton.
Menurut Afieq, kebimbangan tersebut timbul kerana karakter yang ditawarkan jauh berbeza daripada personaliti sebenar, sekali gus membuatkannya berfikir panjang sebelum bersetuju menerima tawaran berkenaan.
“Ketika mula-mula dapat tawaran, memang saya hampir tolak tawaran kerana takut nanti orang ‘cop’ saya sebagai lelaki lembut. Saya pun takut orang akan kecam. Tetapi dalam industri ini, baik atau tidak, kalau orang mahu kecam, tetap akan dikecam. Jadi, reda sajalah.
“Saya tahu perkara itu mungkin akan menimbulkan persepsi tertentu dalam kalangan penonton. Satu perkara yang membuatkan saya terima adalah kerana saya rindu mahu berlakon dan melihat diri sendiri di skrin.
“Bagi saya, lakonan adalah satu seni. Walaupun tiada dialog, kita tetap perlu membuatkan penonton memahami emosi karakter itu. Karakter ini memang sangat berbeza dengan watak yang pernah saya bawakan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menjayakan watak sebagai Izmeer menerusi drama tersebut, Afieq mendedahkan dia turut melakukan persediaan termasuk mempelajari gaya percakapan lelaki yang berperwatakan feminin atau sopan pertuturannya.
“Watak ini bukan karakter sebenar saya. Jadi, saya perlu belajar bagaimana hendak membawakan karakter seseorang yang bertutur dengan lembut dan sopan.
“Saya cuba cari elemen yang mungkin ada dalam diri sendiri, kemudian berlatih di depan cermin dan di rumah sampai ibu saya pun tergelak-gelak.
“Apabila orang kata mereka suka dengan watak itu, saya pula jadi takut. Takut selepas ini akan datang lebih banyak tawaran karakter seperti ini,” selorohnya.
Pun begitu, Afieq enggan meletakkan had terhadap dirinya untuk menjayakan karakter tertentu, sebaliknya lebih berminat mencuba kepelbagaian watak sepanjang bergelar pelakon.
“Saya sukakan variasi. Kalau selepas ini datang watak baharu yang saya tidak pernah buat, saya akan rasa watak itu menarik. Kalau setiap kali jadi hero hanya perlu nampak kacak dan kemas, itu terlalu biasa. Saya mahu cuba sesuatu yang berbeza,” ujarnya.
Selain Afieq, drama arahan Jamal Khan itu turut dibintangi, Zara Zya, Izzue Islam, MK K-Clique, Dayang Areeda dan ramail lagi.











