PETALING JAYA: Permukaan laluan motosikal berwarna hijau di Lebuhraya Persekutuan, berhampiran Subang, Selangor kembali dipersoalkan selepas rakaman beberapa penunggang motosikal dipercayai terjatuh ketika melalui kawasan berkenaan tular di media sosial pagi ini.
Rakaman berdurasi 42 saat yang dimuat naik oleh beberapa pengguna Threads itu menunjukkan tiga biji motosikal terbaring di atas laluan, manakala sebahagian penunggang berada di bahu jalan.
Keadaan permukaan laluan yang kelihatan basah turut dirakam, dengan beberapa penunggang lain dilihat memperlahankan kenderaan masing-masing ketika menghampiri kawasan terbabit.
Berita berkaitan:
Berdasarkan dakwaan dalam hantaran berkenaan, kejadian berlaku ketika hujan dan insiden sama dikatakan sudah berlaku beberapa kali.
Bagaimanapun, kesahihan rakaman, tarikh kejadian serta keadaan sebenar penunggang yang terlibat belum dapat disahkan setakat ini.
Kejadian itu mengundang persoalan dalam kalangan pengguna jalan raya mengenai tahap cengkaman permukaan berwarna tersebut, khususnya apabila basah selepas hujan.
Perkara itu menjadi perbincangan serius memandangkan laluan berkenaan digunakan secara khusus oleh penunggang motosikal yang berdepan risiko lebih tinggi apabila permukaan jalan kehilangan daya cengkaman.
Laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan di sekitar Subang sebelum ini turut menjadi perhatian susulan penggunaan permukaan berwarna di beberapa bahagian laluan.
Ogos lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dilaporkan menjelaskan permukaan berwarna di laluan keluar Subang itu merupakan rawatan permukaan setempat yang dilaksanakan berdasarkan pertimbangan kejuruteraan serta kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut penjelasan itu, penggunaan permukaan berkenaan bertujuan mengenal pasti kawasan yang mempunyai risiko konflik, termasuk selekoh dan laluan keluar, selain menjadi isyarat kepada penunggang supaya meningkatkan tahap kewaspadaan.
Bagaimanapun, kebimbangan mengenai tahap keselamatan permukaan tersebut ketika hujan sebelum ini turut disuarakan pengguna laluan berkenaan. – UTUSAN











