Pentadbiran Trump sedia pelan larangan eksport diesel 90 hari

Pentadbiran Trump sedia pelan larangan eksport diesel 90 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan larangan eksport diesel selama 90 hari dalam usaha menurunkan harga tenaga yang melonjak.

Menurut portal berita Politico, sumber yang mengetahui rancangan itu berkata Rumah Putih berusaha mengurangkan harga bahan api tinggi yang memberi tekanan kepada Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November.

Pengeluar bahan api Amerika Syarikat (AS) bagaimanapun menentang cadangan berkenaan dan memberi amaran kepada pegawai persekutuan bahawa manfaat jangka pendek daripada larangan itu akan diatasi oleh kenaikan harga bahan api pada masa depan.

Jika dilaksanakan, larangan berkenaan akan menjadi sekatan pertama terhadap eksport tenaga AS sejak pentadbiran Barack Obama menarik balik larangan eksport minyak yang berkuat kuasa selama beberapa dekad pada 2015.

Menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA), harga diesel kini mencecah paras rekod AS$6.52 (RM27.40) segelen, berbanding AS$2.83 (RM11.89) segelen pada tahun lalu.

Politico melaporkan kenaikan mendadak harga diesel itu berlaku susulan perang pentadbiran Trump terhadap Iran, selain serangan Ukraine terhadap kilang penapisan minyak di Russia.

Menjelang pilihan raya pertengahan penggal, Republikan berusaha mengekalkan majoriti di Dewan Perwakilan dan Senat, namun kenaikan harga tenaga dilihat memberi tekanan kepada calon parti itu yang mahu mempertahankan kerusi masing-masing.

Sumber memberitahu Politico bahawa keadaan itu mendorong Trump berusaha melaksanakan larangan eksport diesel berkenaan.

Seorang eksekutif industri memberitahu Politico bahawa Trump berkemungkinan mengumumkan larangan itu sebelum akhir minggu ini dan menganggap sebarang kesan balas sebagai “masalah Disember”.

Menurut eksekutif minyak itu, kebimbangan mengenai kenaikan harga di stesen minyak kini mengatasi pandangan dalam Rumah Putih yang lebih berhati-hati terhadap langkah berkenaan.

Rumah Putih dan Jabatan Tenaga AS bagaimanapun tidak mengesahkan laporan itu.

“Ini satu lagi berita palsu daripada Politico,” kata seorang pegawai Rumah Putih.

Pakar industri pula memberi amaran larangan eksport diesel AS boleh memberi kesan berantai kepada pasaran global kerana banyak negara kini semakin bergantung kepada bekalan diesel dari AS.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×