Tiga pelajar lelaki warga asing ditahan bantu siasatan kes bunuh - Utusan Malaysia

Tiga pelajar lelaki warga asing ditahan bantu siasatan kes bunuh

tahanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga pelajar lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki berusia 53 tahun di Kampung Kuchai, di sini pada 18 September lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 17 hingga 20 tahun itu ditahan hari ini di penginapan mereka di Ipoh.

Katanya, ketiga-tiga suspek merupakan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung penemuan seorang lelaki tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan Kampung Kuchai pada 18 September lalu.

“Mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terbaring dan mengalami kecederaan pada bahagian muka sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa menerima rawatan di hospital selama beberapa hari sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 6.42 petang semalam.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala.

“Susulan siasatan yang dijalankan, polis menahan tiga individu warga asing yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh,” katanya.

Tambah beliau, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian dan hubungan mangsa dengan kesemua suspek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×