India bazirkan tenaga bersih akibat isu pembangunan grid

India bazirkan tenaga bersih akibat isu pembangunan grid

PEMANDANGAN udara projek loji tenaga solar terapung berkapasiti 100 megawatt di Empangan Getalsud di Jharkhand, timur India.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sebahagian besar tenaga bersih yang dihasilkan di India terpaksa dibazirkan kerana pembangunan rangkaian penghantaran elektrik negara itu ketinggalan daripada sasaran, dengan satu daripada setiap empat projek antara negeri mengalami kelewatan lebih setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ReNew Power, Sumant Sinha yang menerajui antara syarikat tenaga bersih terbesar India yang disenaraikan di Nasdaq berkata, cabaran utama adalah menyelaraskan kelajuan pembangunan projek penjanaan tenaga dengan pembinaan rangkaian grid.

“Projek penjanaan boleh dibina dalam tempoh 18 hingga 24 bulan. Penghantaran boleh mengambil masa lebih lama kerana melibatkan hak laluan, pengambilan tanah, kelulusan dan penyelarasan antara pelbagai agensi. Ia adalah isu pelaksanaan yang menjadi semakin penting apabila sistem berkembang lebih besar,” katanya.

Pakar Institut Ekonomi Tenaga dan Analisis Kewangan (IEEFA), Vibhuti Garg turut menyalahkan perancangan yang lemah sebagai punca masalah berkenaan.

Beliau memberitahu BBC, grid mampu menampung kapasiti baharu selagi India menghasilkan 10 hingga 15 gigawatt (GW) tenaga setahun. Namun, kadar itu meningkat dengan ketara dan mencecah rekod 51GW tahun lalu, menyebabkan infrastruktur sedia ada tidak lagi mampu menampungnya.

Projek tenaga boleh diperbaharui yang banyak tertumpu di negeri Gujarat dan Rajasthan di barat laut India turut memburukkan cabaran menyalurkan tenaga berikutan kekurangan kapasiti grid.

Penganalisis berpendapat, ketidakpadanan yang semakin ketara antara projek penjanaan yang berkembang pesat dengan infrastruktur penghantaran yang lebih perlahan itu merupakan risiko operasi paling kritikal terhadap sasaran India untuk mencapai kapasiti 500 GW elektrik daripada sumber bukan fosil menjelang 2030.

“Penyelesaian segera bagi menangani jurang itu adalah dengan membina sistem penyimpanan tenaga menggunakan bateri di stesen pengumpulan bagi membolehkan ia disepadukan segera ke dalam grid.

“Jika langkah itu dilaksanakan, India boleh menyimpan tenaga berkenaan dan menggunakannya pada waktu petang berbanding membiarkannya terbazir,” kata Garg.

Namun, kapasiti penyimpanan tidak berkembang berikutan lonjakan besar harga bateri, kekurangan bahan mentah akibat perang di Asia Barat serta kejatuhan nilai mata wang India yang meningkatkan kos pembiayaan bagi syarikat-syarikat India.

“Akibatnya, banyak projek penyimpanan tenaga yang dirancang terpaksa dibatalkan,” tambah Garg.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×