KUALA LUMPUR: “Susah nak maafkan, melupakan pun susah.”
Itu luahan penyanyi, Ani Maiyuni, 48, yang mengakui masih sukar melupakan pengalaman anaknya, Viviana, menjadi mangsa buli, biarpun kejadian tersebut sudah tujuh tahun berlalu.
Menurut Ani, kesan buli yang dialami anaknya bukan sesuatu yang boleh dipadam begitu sahaja kerana trauma berkenaan masih meninggalkan kesan mendalam kepada Viviana sehingga hari ini.
Berita berkaitan:
Sebagai ibu, katanya, dia turut merasai kesakitan yang dilalui anaknya, malah hanya dengan membayangkan kembali kejadian berkenaan sudah cukup membuatkan dirinya sukar menahan perasaan.
“Kadang-kadang sebagai ibu, kita tahu anak kita pernah jadi mangsa buli, automatik kita sebagai ibu teringat-ingat, tak tahu nak cakap perasaan itu bagaimana sebab seolah-olah tiada perkataan yang tepat untuk digambarkan.
“Kita tengok anak kita pernah kena buli, bukan buli minor, ini yang teruk. Walau tak nampak depan mata, bila terpejam mata kita bayangkan situasi itu pun kita dapat rasakan kesakitan dia, susah nak maafkan juga. Melupakan pun susah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Ani berkata, Viviana juga mengambil masa yang lama untuk mendapatkan semula keyakinan dirinya selepas melalui pengalaman tersebut.
Malah, katanya, kesan trauma itu masih boleh dilihat apabila anaknya terserempak dengan individu yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan atau apabila mendengar perkataan ‘buli’.
“Saya tahu dan kenal wajah seorang-seorang pembuli itu. Orang yang bercakap, dia tak tahu situasi. Ya, aku boleh doakan yang baik, tapi aku tak boleh seratus peratus melupakan. Saya faham perasaan anak saya dulu. Ternampak muka-muka itu, dia gigil, dia jadi takut. Bila dengar perkataan buli dia akan rasa terkesan,” katanya.
Menurut Ani, apa yang berlaku kepada Viviana membuktikan bahawa kesan buli tidak semestinya dapat dilihat secara luaran kerana luka yang ditinggalkan boleh mengambil masa yang panjang untuk sembuh.
“Pakar-pakar pun ada cakap, buli ini orang nampak macam okey tetapi luka dalam itu makan masa. Itu anak saya tahu, apatah lagi saya. Saya teringat ibu bapa pembuli ini datang sekolah, mereka suruh anak saya tarik laporan, ugut anak saya masa itu umur 14 tahun,” katanya.
Lebih mengejutkan Ani apabila dia mendakwa terdapat individu yang dikenalinya sebagai pembuli dalam kejadian tersebut kini bergelar guru.
Keadaan itu sekali gus mencetuskan persoalan dalam dirinya mengenai proses tapisan latar belakang calon guru, khususnya bagi memastikan individu yang diberi amanah mendidik anak-anak mempunyai latar belakang yang bersesuaian.
“Saya terkejut tengok ada antara mereka ini jadi guru, tak tahu sekolah mana. Tapi kalau pembuli jadi guru, akan terlahirkah lebih ramai pembuli? Yang jadi tenaga pengajar itu mereka yang ada rekod itu. Di mana tapisan itu? Badan-badan berwajib tidak cek latar belakangkah?
“Saya tak kata semua tenaga pengajar. Maksud saya yang kita dah kenal pasti. Baguslah kalau ada antara mereka yang sudah berubah. Boleh ajar anak murid mereka nanti supaya jangan jadi pembuli,”katanya.
Dalam pada itu, Ani menyambut baik usaha pihak tertentu yang dilihat mula mengambil langkah menangani isu pembuli, termasuk mengenal pasti individu yang pernah terbabit dan mengambil tindakan sewajarnya.
Ani turut bimbang sekiranya isu buli tidak ditangani secara serius, lebih ramai kanak-kanak akan menjadi mangsa, termasuk di sekolah rendah.
“Kita bimbang sekiranya akan datang akan ramai lagi pembuli jika tidak dibendung. Sekarang ini kita tengok, budak sekolah rendah pun jadi pembuli, bukan di asrama saja, di mana-mana ada. Justeru, saya harap semua pihak perlu main peranan untuk kita sama-sama tangani isu buli ini,”ujarnya.











