PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron secara terbuka menolak dakwaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kononnya keamanan sudah dicapai di Gaza, menegaskan keadaan sebenar di wilayah itu kini amat ‘memalukan’ .
Macron berkata, tiada satu pun koridor kemanusiaan dibuka semula di wilayah itu meskipun Trump mendakwa pelan damainya berjaya membawa keamanan.
Beliau berkata, dunia sedang menyaksikan keadaan yang sepatutnya memalukan semua pihak, sambil mengkritik gambaran Trump yang mengangkat pelan damai Gaza sebagai satu kejayaan diplomatik.
“Setahun lalu, di dewan ini juga, kira-kira 12 negara mengiktiraf Palestin. Saya mendengar sikap sinis sesetengah pihak, ‘pengiktirafan hanya sekeping kertas, lihat realitinya’,” katanya.
Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB (UNGA), Macron menyatakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan di Gaza yang menjadi pangkalan Hamas selain tindakan Israel di Tebing Barat.
Beliau turut mengkritik pemimpin dunia yang masih berdiam diri melihat kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.
“Apa nilai kredibiliti kita jika kita terus tidak bertindak terhadap Gaza? Ada pihak mendakwa keamanan sudah dicapai, tetapi keadaan itu tidak membuka ruang kepada penghantaran bantuan kemanusiaan walau sesaat pun. Adakah kita hanya mahu terus berdiam diri dan menyaksikan keadaan yang sepatutnya memalukan kita semua ini?
“Lihat apa yang berlaku di Tebing Barat, di mana pelanggaran berlaku setiap hari. Atas nama apa? Hamas tidak pernah melancarkan serangan di Tebing Barat.
“Semua ini setiap hari menjadikan usaha untuk mencapai pengiktirafan terhadap hak sah rakyat Palestin untuk hidup semakin mustahil,” katanya.
Macron berkata demikian di podium dalam ucapan terakhir di PBB sebelum berundur daripada jawatan pada Mei depan.
Menjawab kritikan Macron, jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly berkata, Trump menamatkan perang antara Israel dan Hamas, membebaskan semua tebusan yang masih hidup, membawa pulang jasad tebusan yang terbunuh kepada keluarga masing-masing serta menerajui pelaksanaan Pelan Damai 20 Perkara di Gaza.
“Ketika pihak lain hanya bercakap, presiden ini mengambil tindakan berdepan masalah rumit berkenaan. Tiada siapa melakukan lebih banyak usaha untuk keamanan dan kestabilan di rantau itu,” katanya.
Macron sebelum ini turut berdepan kritikan daripada sebahagian ahli politik dan aktivis di Perancis yang mendakwa beliau tidak melakukan banyak usaha sejak mengiktiraf negara Palestin pada September lalu.
Di sebalik kritikan itu, Paris memperketat pendirian terhadap keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk mengenakan beberapa sekatan di peringkat nasional dan memulakan proses untuk mengharamkan produk dari penempatan Israel di wilayah diduduki berkenaan.- AGENSI











