PETALING JAYA: Terengganu Cycling Team (TSG) tampil dengan strategi berbeza pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) apabila mengorbankan pemburuan kategori Asia demi mengumpul mata ranking sebanyak mungkin.
Edisi ke-30 LTdL yang berlangsung dari 27 September hingga 4 Oktober itu menjadi medan penting buat TSG untuk mempertahankan kedudukan dalam kelompok tiga terbaik pasukan Benua Asia.
Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, pasukannya mengambil pendekatan berbeza dengan menampilkan dua pelumba tempatan dan empat pelumba import dari luar Asia.
Katanya, strategi itu dirangka bagi mencapai sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik klasifikasi individu keseluruhan (GC) selain sekurang-kurangnya satu podium di peringkat landai.
“Kami akan menurunkan Muhamad Nur Aiman Zhariff dan Muhamad Nur Aiman Rosli bersama empat pelumba import iaitu Zeb Kyffin dari Britain, Adne Willemjan Van Engelen (Belanda), Pierre Barbier (Perancis) dan Matthias Bregnhoj (Denmark).
“Kami berharap dapat menempatkan pakar pendaki dalam kelompok 10 terbaik GC dan sekurang-kurangnya ‘mencuri’ satu podium di peringkat laluan landai.
“Ini penting kerana kami perlukan mata ranking sebanyak mungkin supaya berada dalam kalangan tiga terbaik pasukan Benua Asia dan mendapat tiket undangan automatik dalam pelbagai perlumbaan di benua ini pada tahun depan,” katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan senarai ranking sehingga 20 September lalu, TSG kini berada di tangga ke-37 keseluruhan dengan 1,227 mata dan ketiga dalam kalangan pasukan Benua Asia.
TSG kini berada di belakang Li Ning Stars dari China dan Roojai Insurance Winspace dari Thailand, manakala XDS-Astana Development Team yang turut beraksi pada LTdL26 menghuni tangga ke-39 dengan 1,148.1 mata.
Dalam pada itu, Nasiruddin berkata, Van Engelen, Bregnhoj dan Aiman Zhariff akan menjadi taruhan di laluan berbukit, manakala Barbier dijangka memainkan peranan sebagai pakar pecut.
Kyffin pula yang merupakan pemenang Peringkat 7 LTdL 2025 ketika bersama Unibet, serta Aiman Rosli yang terkenal sebagai pakar pelarian (breakaway), boleh memainkan peranan penting dalam membantu Barbier menghadapi pecutan terakhir atau melakukan serangan solo.
Bregnhoj muncul pelumba terbaik TSG pada LTdL tahun lalu selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-11 keseluruhan, diikuti Van Engelen di tempat ke-23 dan Aiman Rosli di kedudukan ke-77. Kyffin pula menduduki tempat ke-31 ketika mewakili Unibet.
LTdL26 akan membuka tirai dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar Ahad ini sebelum berakhir menerusi Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer (km). – UTUSAN











