Menteri Luar Britain ‘kantoi’ terlelap ketika PM berucap di PBB

Menteri Luar Britain ‘kantoi’ terlelap ketika PM berucap di PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Kamera Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam sempat merakam Setiausaha Luar Britain, Ed Miliband, beberapa kali memejamkan mata ketika Perdana Menteri, Andy Burnham, menyampaikan ucapan sulungnya.

Momen itu dirakam kamera ketika Burnham menghampiri minit ke-20 ucapannya di dewan PBB di New York, dengan Miliband dilihat beberapa kali memejamkan mata.

Perhatian sebelum itu tertumpu kepada Burnham ketika beliau menyampaikan ucapan utama di hadapan para pemimpin dan perwakilan negara anggota PBB.

Miliband mungkin mengalami keletihan akibat perjalanan jauh merentas zon waktu selepas perjalanan ke New York, selain menghadiri pelbagai mesyuarat dan urusan diplomatik sepanjang hari.

Dalam ucapan berkenaan, Burnham menggesa negara-negara bekerjasama dalam menangani perkembangan kecerdasan buatan (AI), sambil memberi amaran teknologi itu mampu membawa manfaat besar tetapi turut menimbulkan risiko serius jika dibangunkan tanpa kawal selia dan perlindungan mencukupi.

Beliau berkata, masa depan AI tidak seharusnya ditentukan oleh syarikat teknologi semata-mata, sebaliknya kerajaan yang dipilih rakyat perlu memainkan peranan dalam menetapkan peraturan berkaitan teknologi itu.

Burnham menegaskan kerjasama antarabangsa amat penting bagi memastikan pembangunan AI membawa manfaat kepada masyarakat, selain mengurangkan risiko yang mungkin timbul daripada teknologi berkenaan.

Kerajaan Britain sebelum ini berusaha meletakkan negara itu sebagai penghubung antara kuasa utama dunia dalam bidang AI, dengan Burnham berkata Britain mempunyai kepakaran teknologi serta hubungan diplomatik yang diperlukan untuk membantu mencapai persetujuan antarabangsa.

Beliau turut mengumumkan kerjasama baharu dalam bidang AI dan sistem autonomi dengan Amerika Syarikat (AS), manakala Britain bersedia menjadikan tadbir urus AI sebagai antara agenda utama ketika negara itu memegang jawatan Presiden G20 kelak.

Bagaimanapun, AI bukan satu-satunya ancaman yang diberi perhatian Burnham.

Perdana Menteri itu turut mengkritik Moscow dengan menuduh Russia menggunakan penyebaran maklumat palsu bagi mengeksploitasi perpecahan dalam masyarakat Britain serta memperkuatkan naratif kelompok kanan jauh.

Beliau berkata, terdapat bukti cubaan campur tangan dalam pilihan raya umum 2019, selain menuduh pihak yang bermusuhan cuba mencetuskan ketegangan susulan beberapa kejadian ganas dan membimbangkan di Britain.

Dakwaan itu dibuat ketika pegawai Eropah meningkatkan amaran mengenai usaha Russia menggunakan penyebaran maklumat palsu, sabotaj dan bentuk lain peperangan hibrid untuk menggugat kestabilan negara Barat yang menyokong Ukraine.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×