Korban tragedi feri Indonesia meningkat 20, 115 masih hilang

Korban tragedi feri Indonesia meningkat 20, 115 masih hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Angka kematian akibat feri penumpang Virgo Transport 8 yang terbalik dan karam di Laut Jawa meningkat kepada 20 orang, berbanding 10 sebelum ini, ketika operasi mencari dan menyelamat diperluaskan.

Pihak berkuasa berkata, pasukan penyelamat menjangkakan lebih banyak mayat akan ditemui susulan pencarian bawah air yang kini diperluaskan.

Feri berkenaan membawa 243 penumpang termasuk 30 anak kapal serta jumlah kenderaan yang belum diketahui ketika terbalik dalam cuaca buruk pada awal 13 September lalu.

Virgo Transport 8 sedang dalam pelayaran dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan ketika kejadian.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Mohammad Syafii, berkata lapan mayat ditemukan di dalam kapal sepanjang tiga hari lalu.

Dua lagi mayat ditemukan selepas dihanyutkan ke pantai di Kalimantan Tengah, kira-kira 253 kilometer dari lokasi kejadian.

Setakat Rabu, seramai 108 mangsa berjaya diselamatkan manakala 115 lagi masih hilang, katanya.

Syafii berkata, lima mayat ditemui pada Isnin, empat pada Selasa dan satu lagi pada pagi Rabu.

Sementara itu, Ketua Agensi Pencarian dan Menyelamat Banjarmasin, I Putu Sudayana, berkata pencarian hari ini akan memberi tumpuan kepada kabin kapal bagi mengesan lebih banyak mangsa.

Penyelam berjaya memecahkan tingkap kabin pada Selasa, namun tidak dapat memasuki ruang berkenaan berikutan keadaan air keruh dan arus deras yang menyukarkan usaha mengeluarkan mayat yang sudah dikenal pasti.

“Pencarian bawah air kami tertumpu pada badan kapal. Kami memberi tumpuan di situ kerana banyak penumpang ditemui terperangkap di dalam kabin,” katanya.

Selepas itu, jika keadaan mengizinkan, pasukan penyelamat akan mengalihkan pencarian kepada kenderaan yang berada di dalam feri berkenaan.

Bagaimanapun, usaha itu mungkin mencabar kerana banyak kenderaan dipercayai bertindih antara satu sama lain.

“Keadaan ini menimbulkan risiko kepada pasukan penyelam. Jika ia boleh dilakukan dengan selamat, kami akan meneruskan pencarian,” kata Putu.

Operasi mencari dan menyelamat dilanjutkan sehingga Ahad depan.

Pihak berkuasa berkata, usaha untuk menegakkan semula kapal itu sedang dijalankan, namun kapal berkenaan masih dalam keadaan terbalik pada Rabu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×