FIF Perak 2026 buka pentas bina badan buat semua - Utusan Malaysia

FIF Perak 2026 buka pentas bina badan buat semua

FIF Perak 2026
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejohanan kecergasan dan bina badan, FIF Mr Perak 2026 bakal memberi ruang kepada atlet tempatan dan seluruh Malaysia menerusi pelbagai kategori termasuk kategori khas Orang Kurang Upaya (OKU), di Sentrac Banquet Hall, Ipoh pada 27 September ini.

Kejohanan anjuran Fitness International Federation (FIF) Perak itu turut menawarkan kategori Men’s Classic, Men’s Physique, Jeans Model, Peserta Kali Pertama, Novis dan Body Transformation.

Pengarah FIF Perak, Kaliyapan Raguraman berkata, penganjuran edisi julung kali itu bertujuan menjadi platform kepada atlet mempamerkan bakat, selain membuka peluang untuk mereka melangkah ke peringkat nasional dan antarabangsa.

“Visi kami adalah untuk menjadikan FIF Perak sebagai platform terbaik bagi atlet mempamerkan bakat, membina keyakinan dan melangkah ke peringkat nasional serta antarabangsa.

“Kami amat berbesar hati atas sokongan padu kepimpinan negeri dan persekutuan untuk edisi julung kali ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, wakil penaja Fersyella, Siti Nurfarahin Mohd Sharif berkata, sokongan terhadap kejohanan itu selari dengan usaha mempromosikan gaya hidup sihat yang terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat.

“Bagi kami, kemenangan bukan hanya tentang siapa yang berdiri di atas podium, seseorang yang berani mengubah gaya hidup, menjaga kesihatan dan menjadi lebih baik daripada dirinya semalam juga adalah seorang juara.

“Fersyella percaya fitness bukan untuk golongan tertentu sahaja fitness adalah untuk semua,” katanya.

Menurutnya, pendekatan inklusif FIF Perak yang turut memberi ruang kepada atlet OKU dan peserta kategori Body Transformation membuktikan arena kecergasan boleh menjadi medium perubahan diri, disiplin dan keberanian.

Kejohanan itu akan dirasmikan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, Dato’ Haji Mohd Tarmizi Haji Idris, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Encik Arvend Applasamy.

Pemenang bakal menerima hadiah wang tunai, trofi, pingat dan sijil selain anugerah khas Champion of Champions. Acara berlangsung dari 8 pagi hingga 6 petang dan pendaftaran peserta kini berada di peringkat akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×