SEREMBAN: Undang Luak Sungei Ujong, Tunku Besar Tampin dan Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar telah meninggalkan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong di Ampangan, di sini, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan dinaiki Tunku Nadzaruddin bergerak meninggalkan lokasi berkenaan sebelum diikuti oleh pembesar adat yang lain.
Kenderaan tersebut turut diiringi anggota polis ketika meninggalkan kawasan berkenaan.
Tidak lama kemudian, anggota polis yang berkawal di sekitar kediaman itu turut beredar.
Terdahulu,media melaporkan kawasan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong mula dikawal anggota polis, pagi ini.
Petugas media yang berada di lokasi turut diarahkan beredar dan tidak dibenarkan berada di pekarangan bangunan berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan sebahagian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Tunku Nadzaruddin.
Sumber dilaporkan berkata, pertemuan yang dijadualkan berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar itu bagaimanapun dibatalkan atas faktor keselamatan selepas pihak berkuasa menasihatkan supaya sesi berkenaan tidak diteruskan.-UTUSAN











