GEORGE TOWN : Pengguna Jambatan Pulau Pinang kini mempunyai pilihan pembayaran tol secara digital menerusi sistem JustGO yang menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) bermula bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata, pelaksanaan JustGO di jambatan berkenaan merupakan satu lagi langkah memperkasa pendigitalan sistem pengangkutan dan pembayaran tol negara.
Katanya, menerusi sistem itu, pengguna yang telah mendaftarkan kenderaan mereka hanya perlu memandu melalui plaza tol tanpa perlu memilih lorong berdasarkan kaedah pembayaran tertentu.
“Teknologi ANPR akan mengesan nombor pendaftaran kenderaan manakala transaksi tol pula akan diproses secara automatik menggunakan kad pembayaran yang telah dipautkan dalam aplikasi JustGO.
“Konsep LaneFreedom yang diperkenalkan JustGO juga membolehkan pengguna menggunakan mana-mana lorong tol yang tersedia di Jambatan Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Jelas beliau, pengguna yang lahir serta menetap di Pulau Pinang dan mendaftar melalui sistem JustGO juga berpeluang untuk menikmati potongan harga sehingga 20 peratus bagi perjalanan melalui jambatan tersebut ketika ini.
“Bagaimanapun, bagi pengguna Plaza Tol Bandar Cassia (Jambatan Kedua) pula, kemudahan JustGO buat masa ini hanya disediakan di lorong RFID yang ditandakan dengan bulatan merah sahaja,” ujar beliau.
Sementara itu, Zairil berkata, pelaksanaan teknologi ANPR itu dijangka membantu melancarkan aliran trafik di plaza tol Jambatan Pulau Pinang selain mengurangkan kebergantungan kepada pelbagai medium pembayaran fizikal.
Beliau berkata, inisiatif yang sama turut menyokong aspirasi Pulau Pinang ke arah negeri pintar yang memanfaatkan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Justeru, beliau berharap agar pengguna Jambatan Pulau Pinang memanfaatkan sepenuhnya kemudahan berkenaan sebagai alternatif kepada pembayaran tol yang lebih moden, mudah dan efisien.-UTUSAN











