KUALA KRAI: Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 kepada seorang bekas guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan muridnya dengan menendang muka kanak-kanak tersebut, kira-kira dua tahun lalu.
Abdullah Mustakim, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dengan cara menendang muka menggunakan kaki kanan. Perbuatan itu dilakukan di dalam kelas di sebuah sekolah kebangsaan di sini, kira-kira pukul 2.30 petang pada 23 Oktober 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farazaliza Fauzi. Terdahulu, Mazlinda mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam dan kes tersebut dilakukan terhadap muridnya sendiri.
Farazaliza dalam rayuannya memohon hukuman denda minimum dengan alasan tertuduh kini bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,000 sebulan selepas kehilangan pekerjaan sebagai guru KAFA.
“Tertuduh juga perlu menanggung seorang isteri yang merupakan suri rumah selain tiga anak yang masih kecil dan belum bersekolah,” katanya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – UTUSAN











