Kaedah baharu haji lebih baik?

Kaedah baharu haji lebih baik?

KAEDAH baharu penggiliran haji lebih menepati prinsip istito’ah kerana peluang diberikan kepada mereka yang bukan sahaja mendaftar awal tetapi turut mempunyai kemampuan untuk menunaikannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan bermula 1 Januari 2029, kaedah penggiliran haji sedia ada akan digantikan dengan pendekatan baharu yang memberi penekanan kepada kemampuan atau istito’ah.

Ketika ini, giliran ditentukan berdasarkan prinsip siapa yang mendaftar dahulu, dengan amaun minimum RM1,300. Melalui kaedah baharu, pendeposit perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM15,000 untuk melayakkan diri mendapat giliran mengerjakan haji.

Bagi mereka yang sudah mendaftar dan menerima tahun peruntukan haji, TH menggesa supaya amaun minimum baharu itu dicukupkan selewat-lewatnya 31 Disember 2028 bagi mengekalkan giliran masing-masing.

Pengumuman tersebut sememangnya menarik perhatian bakal haji. Namun, untuk memahami rasional perubahan ini, kita perlu melihat gelagat mereka di bawah sistem sedia ada.

Ada yang mendaftar seawal mungkin dengan RM1,300 dan mempunyai kemampuan kewangan apabila tiba masa untuk berangkat. Golongan ini jelas memenuhi tuntutan istito’ah dan sewajarnya diberi peluang.

Ada juga yang membuat pendaftaran awal dengan jumlah sama tetapi belum mempunyai kemampuan kewangan apabila mendapat giliran.

Dalam keadaan sedemikian, sebahagian mungkin terpaksa menangguhkan pemergian atau mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak lain.

Selain itu, terdapat bakal haji yang memilih untuk tidak mendaftar awal kerana perlu memberikan perhatian kepada komitmen keluarga, khususnya mengurus anak yang masih kecil.

Walaupun belum mempunyai giliran, mereka mungkin sudah mempunyai kemampuan kewangan untuk menunaikan ibadah tersebut apabila keadaan mengizinkan.

Apabila ada yang menangguhkan pemergian, peluang berkenaan biasanya boleh diberikan kepada mereka yang membuat rayuan. Golongan ini juga mungkin memenuhi syarat kemampuan tetapi berdepan masalah lain.

Tempoh persediaan yang singkat, ada kalanya hanya satu atau dua minggu, menyukarkan mereka membuat persiapan dengan sempurna. Dalam keadaan tergesa-gesa, kos perjalanan dan keperluan lain juga berkemungkinan menjadi lebih tinggi kerana segala urusan perlu diselesaikan dalam tempoh yang terbatas.

Keadaan inilah antara perkara yang menjelaskan rasional perubahan kaedah penggiliran.

Kaedah baharu bukan sekadar mengubah angka simpanan minimum. Lebih penting, cuba memastikan mereka yang menerima giliran benar-benar bersedia dari sudut kePada akhirnya, prinsip siapa yang mendaftar dahulu, dia pergi dahulu masih boleh dikekalkan.

Bezanya, prinsip tersebut kini diletakkan di bawah syarat yang lebih asas, iaitu kemampuan.

Ini penting kerana ibadah haji bukan sekadar soal mendapat tempat. Ia menuntut kesediaan dari segi kewangan, fizikal dan tanggungjawab lain yang berkaitan.

Justeru, perubahan kaedah penggiliran mulai 2029 wajar dilihat dalam kerangka tersebut. Prinsip asal tidak semestinya diketepikan tetapi disusun semula supaya lebih dekat dengan tuntutan istito’ah.

Dengan kata lain, bukan lagi sekadar siapa daftar dahulu, dia pergi dahulu tetapi siapa yang mendaftar dahulu dan benar-benar mampu, dia pergi dahulu.

DR. NOR AZAM ABDUL RAZAK
Profesor Madya,
Pusat Pengajian Ekonomi,
Kewangan dan Perbankan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×