KOTA BHARU: Seorang pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas gagal hadir untuk menghadapi 42 pertuduhan berkaitan kegagalan menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi.
Orang Kena Saman (OKS), Pui Tiong Lam, 61, yang juga pemilik perniagaan borong minyak masak subsidi, sepatutnya didakwa atas 41 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi pada 6 Ogos 2024 serta satu pertuduhan gagal mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan Penolong Pengawal Bekalan pada Mac lalu.
Hakim Nik Habri Muhamad mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu selepas mendapati dia gagal hadir untuk prosiding pendakwaan tanpa alasan kukuh.
Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Edabayu Subhan berkata, OKS juga tidak mengemukakan sebarang dokumen sijil sakit bagi menjelaskan ketidakhadirannya ke mahkamah.
“Justeru, pihak pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS untuk didakwa atas kesemua pertuduhan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pendakwa KPDN, Muhammadi Iman Masjuri berkata, pertuduhan dikemukakan selepas OKS gagal mengemas kini buku stok barang kawalan minyak masak dan disyaki bagi tujuan penyelewengan ke negara sempadan.
Menurutnya, OKS berdepan keseluruhan 71 pertuduhan gagal menyelenggara buku stok barang kawalan berjadual minyak masak subsidi pada 6 Ogos 2024 dan satu pertuduhan gagal mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan Penolong Pengawal Bekalan pada Mac lalu.
“Lelaki itu sepatutnya didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas 42 pertuduhan manakala 30 lagi pendakwaan dikemukakan esok.
“Justeru, pihak mahkamah memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS untuk pendakwaan di mahkamah dalam tempoh segera,”katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 November depan untuk sebutan waran tangkap.-UTUSAN











