KUALA LUMPUR: Pelakon, Nam Ron, berkata pengalaman menjalani penggambaran di New Zealand membuka matanya kepada pelaksanaan had kerja 12 jam yang sudah lama diamalkan membabitkan sektor hiburan di negara itu.
Nam Ron atau Shahili Abdan, 57, bagaimanapun bersyukur apabila dasar itu semakin dipandang serius apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melaksanakan had kerja 14 jam untuk penggiat seni.
“Sana gaya mereka bekerja, okey. Baru-baru ini Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) buat peraturan 14 jam kerja. Jadi kita tak boleh kerja lebih 14 jam. Mereka di sana (New Zealand) sudah lama buat. Tapi mereka bukan 14 jam, mereka bekerja 12 jam maksimum.
“Kalau call time pukul 6 pagi, pukul 6 petang mesti kena habis. Kadang-kadang pukul 5 petang mereka dah mula kemas barang sebab mereka perlukan satu jam lagi untuk ‘loading’ barang. Jadi dari 6 pagi sampai 5 petang saja kita boleh ‘shooting’.
“Mereka memang tak boleh bekerja lebih daripada 12 jam kerana jabatan buruh di sana tetapkan begitu. Kalau mereka buat kerja lebih daripada 12 jam, mereka sendiri boleh dikenakan tindakan, bukan produksi saja,” katanya ketika ditemui semasa malam gala Terbang di TGV KLCC, baru-baru ini.
Tambahnya, perubahan yang cuba dilakukan di Malaysia tetap menjadi khabar baik sekiranya pelaksanaan ini dipatuhi semua produksi.
“Pengalaman itu membuatkan kita terfikir, patutnya kita di Malaysia pun kena amalkan benda macam itu juga.
“Harap-harap pelaksanaan bekerja dalam tempoh 14 jam ini mereka akan ikutlah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, bercerita mengenai filem Terbang arahan Chiu Keng
Guan, Nam Ron mengakui sangat teruja menerima panggilan menawarkannya bekerja dengan pengarah yang disegani itu.
“Saya kenal dia daripada tengok filem The Journey, kemudian tengok Ola Bola. Bila tengok dua filem ini pun dah tahu dia memang pengarah yang bagus.
“Dia bukan jenis pengarah yang buat filem jadi macam kilang. Setahun sampai dua tiga filem atau setahun satu filem. Ini pun selepas 10 tahun baru dia buat balik filem ini tapi saya tahulah dia ada banyak mengarah di China dan banyak mengarah filem di sana.
“Jadi sudah tentu saya nak bekerja dengan dia dan bila produksi hubungi saya, saya masih ingat lagi saya tak tanya pasal bajet atau apa, saya minta mereka letak saja, saya terus terima saja.
“Tak ada kita nak tawar-menawar. Berapa mereka tawar, saya ambil saja. Tapi tawaran mereka taklah teruk, okey saja, memang ikut piawaian kita,” katanya.
Terbang membawa kisah inspirasi perjalanan pasukan rali Malaysia yang diketuai legenda Karamjit Singh itu mengetengahkan semangat patriotik menerusi dengan mengangkat kisah dunia sukan permotoran yang kini sedang ditayangkan di panggung. -UTUSAN











