Sudut pandang CCTV cetus spekulasi polis ‘escort’ pencuri kabel

Sudut pandang CCTV cetus spekulasi polis ‘escort’ pencuri kabel

Spekulasi curi kabel
SHAZELI Kahar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sudut pandang kamera litar tertutup yang memaparkan insiden kes curi kabel dan sebuah unit kereta peronda (MPV) polis didakwa punca kewujudan spekulasi pihak berkuasa itu dikatakan menjadi ‘escort’ kenderaan suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, rakaman kejadian yang berlaku di Kampung Tasik Tambahan, Ampang pada Sabtu lalu itu kemudian tular dalam media sosial sehingga ramai yang membuat kesimpulan awal.

“Apabila melibatkan sudut rakaman tersebut seolah-olah menimbulkan kontroversi. Polis terima maklumat berkaitan dengan kemungkinan berlaku kecurian kabel. Kemudian anggota MPV datang melakukan pengesahan dan membuat tangkapan pada waktu tersebut.

“Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan MPV berkenaan, beberapa rakan lain berjaya melarikan diri. Jadi kita sedang berusaha mengesan beberapa suspek lain yang terlibat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan dakwaan bahawa sebuah kenderaan polis dari MPV yang melakukan ‘escort’ kenderaan mencuri kabel seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pencuri kabel tersebut sudah pun ditangkap.

Suspek sudah pun dituduh di mahkamah dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda sebanyak RM8,000.

Dalam pada itu, Shazeli memberitahu pihaknya menghargai sebarang maklumat yang diberikan berhubung kejadian tersebut, namun kesahihan rakaman CCTV itu perlu dipastikan kesahihannya supaya ia tidak dimanipulasikan.

“Kita tidak menghalang mana-mana perkongsian,  penyebaran rakaman-rakaman tersebut. Ia sebahagian daripada proses perkongsian maklumat sebenarnya yang amat kami hargai.

“Cuma nasihat saya, jangan cepat buat kesimpulan. Berkongsi itu tidak menjadi isu. Jadi, kongsikanlah maklumat kepada polis. Jangan buat kesimpulan awal yang belum diketahui hujung dan pangkal ceritanya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, polis juga akan mengambil keterangan daripada pemilik rakaman CCTV bagi membantu siasatan dan mengsan suspek-suspek yang masih bebas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×