Nur Haira sedang belajar berjalan semula - bapa saudara - Utusan Malaysia

Nur Haira sedang belajar berjalan semula – bapa saudara

KANAK-KANAK perempuan berusia dua tahun yang diserang sekumpulan anjing liar di Batu Pahat awal bulan ini kembali belajar berdiri dan berjalan selepas terlantar di katil selama 17 hari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang parah diserang sekumpulan anjing liar di hadapan rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat telah mula belajar untuk bangun dan berjalan kembali.

Bapa saudara mangsa, Shahrizal Mohd. Hanafiah berkata, kanak-kanak tersebut iaitu Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi sebelum ini telah terlantar di katil hospital selama 17 hari lalu setelah insiden tersebut.

“Hari ini Haira mula belajar berjalan setelah 17 hari terlantar di atas katil. ‘Struggle’ dan badan menggigil terhuyung-hayang masa berjalan. Doakan dipermudahkan proses pemulihan.

“insya-Allah pembedahan fasa pertama di bahagian kepala akan dibuat minggu ini,” katanya menerusi hantaran media sosial, di sini.

Sementara itu, dia turut memberitahu kanak-kanak itu berdepan kemungkinan mengalami kecacatannya susulan kejadian yang menimpanya sehingga menyebabkan kecederaan parah di seluruh badan.

“Tunggu proses pembedahan dahulu, insya-Allah sebarang perkembangan ayah dan umi Haira akan beritahu lebih lanjut,” katanya.

Pada masa sama, Shahrizal mewakili ahli keluarga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang prihatin terhadap perkembangan kesihatan kanak-kanak perempuan berkenaan.

“Terima kasih kerajaan Johor melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) atas bantuan dan keperihatinan terhadap adik Haira. Terima kasih juga kepada semua pihak yang banyak membantu dalam kes adik Haira,” katanya.

Pada 5 September lalu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani dilaporkan berkata seorang kanak-kanak perempuan cedera parah di keseluruhan badannya selepas diserang sekumpulan anjing liar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×