Kafa cari calon presiden, timbalan presiden

Kafa cari calon presiden, timbalan presiden

HUSIN Deraman semasa sidang media di Kota Bharu, Kelantan semalam. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sedang mencari calon-calon untuk merebut jawatan presiden pada kongres dan pemilihan semula jawatankuasa eksekutif badan induk bola sepak negeri itu yang dijangka berlangsung pada Disember nanti.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, sehingga kini peluang untuk mengisi kerusi panas itu masih terbuka luas berikutan belum ada sebarang pencalonan diterima daripada mana-mana pihak.

Katanya, turut dikosongkan adalah jawatan Timbalan Presiden KAFA susulan Datuk Seri Afandi Hamzah dan Datuk Azman Ismail masing-masing telah menarik diri.

“Jadi kedua-dua jawatan tersebut terbuka luas untuk direbut oleh sesiapa sahaja dengan syarat calon-calon adalah warganegara Malaysia.

“Jawatnkuasa Eksekutif Kafa mengalu-alukan mana-mana tokoh bola sepak negara untuk bertanding dengan penuh keterbukaan,” katanya semalam.

Hussien memberitahu, Kafa turut menyeru agar ahli-ahli gabungannya mengemas kini dan membuat semakan status persatuan masing-masing dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi memastikan kelayakan mengundi pada kongres serta pemilihan semula nanti.

Katanya, seruan ini dibuat susulan pihaknya turut dimaklumkan oleh FAM bahawa antara punca kongres dan pemilihan sebelum ini dibatalkan adalah berpunca daripada ahli gabungan Kafa sendiri.

“Kongres dan pemilihan semula adalah ruang terbaik untuk memperbetulkan kesilapan tersebut, namun kita serahkan perkara itu kepada FAM.

“Kita sudahpun serahkan surat rasmi kepada FAM untuk memohon bantuan mereka menentukan dengan PJS, siapa yang patut hadir ke kongres dan terlibat dalam pemilihan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Husin memaklumkan kongres dan pemilihan semula nanti akan dikelolakan oleh FAM sendiri sepertimana dipersetujui dalam pertemuan antara Kafa, FAM dan PJS yang berlangsung pada 12 Jun lalu.

“Kita turuti model Kongres Luar Biasa FAM baru-baru ini, yang dikelolakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). Maknanya segala-galanya kini bergantung kepada FAM.

“Awalnya kita mahu adakan kongres semula sebelum September tetapi perlu beri ruang untuk kongres luar biasa FAM. Jadi Disember dirasakan masa terbaik untuk kita laksanakan kongres dan pemilihan semula KAFA,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×