PETALING JAYA: Tropicana Corporation Bhd (Tropicana) mencatat kadar pengambilan 100 peratus bagi projek pejabat kedai Umara dua dan tiga tingkat bagi Tropicana Aman, pembangunan bandar seluas 439.3 hektar.
Projek yang siap lebih awal itu turut memperoleh skor Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) sebanyak 83 peratus.
Pencapaian itu mencerminkan permintaan kukuh terhadap komponen komersial di Tropicana Aman, selain keyakinan pemilik perniagaan, pelabur dan usahawan terhadap pembangunan berkenaan.
Pengarah Urusan Pemasaran, Jualan dan Pembangunan Perniagaan Tropicana, Ixora Ang berkata, Tropicana Aman yang dirancang sejak 2012 sebagai pembangunan bandar mampan untuk komuniti Kota Kemuning kini berkembang menerusi pelbagai pembangunan kediaman dan komersial.
“Sejak melancarkan fasa kediaman pertama pada 2015 yang mencapai 100 peratus kadar pengambilan dalam tempoh setahun, bandar ini berkembang dengan pembangunan kediaman dan komersial, Central Park seluas 34.4 hektar dengan laluan berjalan kaki dan berbasikal sepanjang tujuh kilometer, selain sekolah swasta dan awam.
“Hari ini, Umara menjadi pusat komersial bandar ini yang menyokong usahawan, peruncit dan penyedia perkhidmatan dalam komuniti bersepadu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kejayaan menyiapkan dan menyerahkan Umara lebih awal, ditambah dengan kadar pengambilan 100 peratus serta skor QLASSIC 83 peratus, mengukuhkan komitmen Tropicana untuk menyediakan pembangunan berkualiti.
Katanya, perkembangan Tropicana Aman juga membuka ruang kepada pengembangan ekosistem komersial menerusi Varia Shop Offices yang kini ditawarkan untuk jualan.
“Varia terdiri daripada 151 unit pejabat kedai dua, tiga dan empat tingkat dengan saiz antara 22 kaki kali 70 kaki hingga 40 kaki kali 70 kaki.
“Ia mempunyai pelbagai laluan masuk serta akses ke Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Utara-Selatan (NKVE), Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE),” ujarnya.
Tropicana berkata, Varia turut disokong kawasan tadahan kira-kira 500,000 penduduk serta tenaga kerja melebihi 4,000 orang, selain dikelilingi kawasan kediaman, institusi pendidikan, kemudahan rekreasi dan ekosistem komersial yang semakin berkembang.
“Unit berkenaan direka untuk pelbagai jenis perniagaan termasuk kafe, restoran, kedai roti, ruang kerja bersama, pejabat profesional, peruncitan dan perkhidmatan gaya hidup,” jelasnya.
Sementara itu, katanya pembeli yang menandatangani perjanjian jual beli (SPA) selewat-lewatnya pada 30 September 2026 berpeluang memenangi keahlian golf selama setahun di Tropicana Golf & Country Resort menerusi kempen Live+ Musim 2 Tropicana. – UTUSAN








