PH bakal bertemu kekalahan seterusnya

PH bakal bertemu kekalahan seterusnya

bersatu
 AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) dijangka menerima nasib kekalahan berikutnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka seperti mana yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, PRN Melaka akan menjadi medan untuk merealisasikan perpaduan ummah bagi menumbangkan gabungan berkenaan di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Melaka sudah memanggil. Perpaduan ummah sekali lagi bakal direalisasikan.Insya-Allah PH bakal bertemu kekalahan berikutnya,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibubarkan secara rasmi pada esok, 23 September 2026.

Beliau mengumumkan pembubaran itu selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka di Auditorium Seri Negeri.

Pengumuman itu akan membuka laluan kepada proses pilihan raya negeri untuk menentukan kerajaan Melaka yang baharu.

Pembubaran DUN berkenaan dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang dan seterusnya memberi ruang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menjalankan proses berkaitan PRN Melaka.

Menurut Rauf, dengan pembubaran itu, SPR dijangka menetapkan tarikh writ pilihan raya, penamaan calon dan hari pengundian bagi PRN berkenaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×