BOGOTA: Pasukan kecemasan Colombia terus berusaha memadam kebakaran hutan yang memusnahkan hampir 300 hektar kawasan berhampiran Villa de Leyva, antara bandar bersejarah terkenal di negara itu.
Kebakaran yang berlaku sejak Sabtu di Bukit San Marcos, kawasan luar bandar La Castellana, berhampiran pusat bersejarah Villa de Leyva, dipercayai berlaku ketika keadaan kering yang dikaitkan dengan corak iklim El Nino.
Unit Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Colombia (UNGRD) memaklumkan operasi memadam kebakaran diteruskan sepanjang masa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan pusat.
Menurut agensi itu, penilaian awal mendapati sekurang-kurangnya 290 hektar kawasan tumbuh-tumbuhan musnah akibat kebakaran.
Gabenor Boyaca, Carlos Amaya, berkata lebih 400 anggota termasuk anggota bomba, sukarelawan pertahanan awam dan tentera dikerahkan bagi mengawal kebakaran berkenaan.
Operasi itu turut membabitkan 14 pasukan bomba, 10 kenderaan kecemasan khusus serta helikopter yang dilengkapi peralatan untuk operasi pemadaman dari udara.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan api marak memusnahkan Hotel Arcoiris yang terletak berhampiran kawasan kebakaran.
Pegawai kecemasan memaklumkan bangunan itu musnah sepenuhnya, namun semua tetamu dan kakitangan berjaya dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Kebakaran itu turut menyebabkan kerosakan alam sekitar yang ketara terhadap ekosistem Andes berketinggian tinggi di kawasan berkenaan.
Perbadanan Autonomi Wilayah Cundinamarca (CAR) memberi amaran pemulihan tumbuh-tumbuhan dan tanah di kawasan itu mungkin mengambil masa sehingga 30 tahun.
Diasaskan pada 1572, Villa de Leyva diiktiraf sebagai Monumen Kebangsaan dan merupakan destinasi pelancongan utama yang terkenal dengan seni bina kolonial Sepanyol yang terpelihara, jalan berbatu serta dataran utama yang luas.
Kebakaran itu berlaku ketika tempoh kering berpanjangan yang dikaitkan dengan El Nino semakin memburukkan keadaan kemarau di Colombia dan beberapa kawasan lain di Amerika Latin.
Pihak berkuasa pengurusan bencana kebangsaan melaporkan 24 kebakaran hutan masih aktif di seluruh Colombia.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sebanyak 794 kebakaran hutan direkodkan di negara itu, memusnahkan lebih 2,800 hektar (6,919 ekar) kawasan hutan dan ekosistem paramo.- ANADOLU











