KUALA LUMPUR: Semakan kehakiman yang difailkan oleh Exco Bersatu Selangor, Na’im Brundage bagi mencabar sekatan yang dikenakan ke atas akaun TikTok miliknya terhenti selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan empat lagi.
Empat lagi pihak yang mengemukakan bantahan awal serupa ialah Pengerusi MCMC dan Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian MCMC, Datuk Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan kerajaan Malaysia yang dinamakan sebagai responden.
Hakim Norliza Othman memutuskan demikian selepas mendapati kesemua responden bukanlah pihak yang membuat sekatan berkenaan.
“Asas kepada isu ini ialah tiada kausa tindakan. Pertama sekali, perlu ada keputusan yang dilakukan bagi membolehkan Mahkamah menyemak dan membenarkan semakan kehakiman ini untuk dibicarakan tetapi (dalam permohonan ini) tiada keputusan dibuat (oleh responden)
“Keputusan pentadbiran (administrative decision) bukanlah satu keputusan yang membolehkan satu semakan kehakiman dilakukan oleh Mahkamah.
“Dalam kes ini, halangan pertama yang gagal dilepasi oleh pemohon (Na’im) ialah menentukan siapa yang membuat keputusan untuk menapis dan menyekatkan akaun TikTok. Yang pasti, TikTok yang menapis dan menyekat akaun pemohon dan bukannya responden.
“Responden hanya memberikan amaran kepada TikTok bahawa pemohon telah melanggar Garis Panduan Komuniti TikTok. Tiada keputusan yang dibuat oleh responden yang membolehkan Mahkamah membuat semakan kehakiman,”kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, Na’im diwakili peguam, Latheefa Koya manakala responden pertama hingga ketiga diwakili peguam, K. Ruebankumar. Peguam Kanan Persekutuan, Ainna Sherina Saipolamin hadir bagi pihak Menteri dan Kerajaan Malaysia.
Ketika ditemui media, Latheefa memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.
Na’im memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 24 Jun 2024 untuk membatalkan keputusan yang menyekat dua akaun TikToknya.
Dalam afidavit sokongannya, pemohon berkata beliau kerap memuat naik video di dua akaun TikToknya, dengan kandungan video itu merupakan luahan pandangan serta pendapat beliau berkenaan isu-isu semasa, namun Mac 2024 beliau mendapati bahawa akaun-akaun TikTok itu telah disekat.
Beliau mendakwa bahawa tindakan menyekat akaun TikTok miliknya bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan bahawa tiada peruntukan di bawah undang-undang tersebut yang membenarkan tindakan sedemikian. – UTUSAN











