APABILA sebuah lori lebih muatan terbabit dalam kemalangan, orang pertama yang dipersalahkan biasanya ialah pemandu. Wajahnya dipaparkan, tindakannya dipersoalkan dan hukumannya dituntut.
Namun, persoalan yang jarang ditanya ialah: Siapakah yang menentukan jumlah muatan, jadual perjalanan dan sasaran penghantaran?
Pemandu memang wajib mematuhi undang-undang. Mereka bertanggungjawab memastikan kenderaan dipandu dengan selamat dan tidak boleh menggunakan arahan majikan sebagai alasan untuk membahayakan pengguna jalan raya.
Namun, meletakkan seluruh kesalahan pada bahu pemandu boleh menutup kelemahan yang lebih besar dalam pengurusan syarikat.
Dalam Op Perang Lebih Muatan selama 13 hari pada Oktober 2025, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memeriksa 27,300 lori dan mengesan lebih 1,000 kes muatan berlebihan.
Sebanyak 96 lori disita, manakala 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan dikenakan saman atau tindakan di bawah undang-undang berkaitan.
Angka ini menunjukkan bahawa lebih muatan bukan kesalahan terpencil seorang pemandu. Muatan disediakan oleh pengirim, diterima oleh pengendali dan dihantar mengikut kontrak pelanggan.
Jadual perjalanan pula ditentukan oleh penyelia operasi atau syarikat logistik, bukannya pemandu seorang diri.
Tekanan kos turut mendorong amalan berbahaya.
Sesetengah pengendali mungkin mahu mengurangkan bilangan perjalanan dengan membawa barangan melebihi had, manakala pelanggan pula menuntut penghantaran cepat pada harga rendah.
Pemandu akhirnya berada di hujung rantaian keputusan dan berdepan risiko saman, kehilangan lesen serta pekerjaan.
Lebih muatan meningkatkan jarak membrek, menjejaskan kestabilan kenderaan dan mempercepat kerosakan tayar, brek serta sistem ampaian kenderaan. Ia juga merosakkan permukaan jalan.
Kosnya kemudian ditanggung masyarakat melalui kemalangan, kesesakan, kelewatan penghantaran, tuntutan insurans dan perbelanjaan membaiki infrastruktur.
Siasatan tidak seharusnya berhenti selepas saman dikeluarkan kepada pemandu.
Pihak berkuasa perlu meneliti rekod penimbangan, pesanan pelanggan, dokumen konsainan, jadual kerja, rekod penyelenggaraan dan arahan operasi bagi mengenal pasti pihak yang mendapat keuntungan daripada pelanggaran tersebut.
Pemilik barang dan pengirim mesti mengesahkan berat sebenar sebelum lori bergerak. Syarikat logistik pula perlu bertanggungjawab terhadap pemilihan kenderaan, had muatan, waktu kerja dan keadaan teknikal armada.
Bagi kes berulang, tindakan terhadap lesen pengendali dan kontrak syarikat lebih berkesan daripada saman kecil yang dianggap sebagai kos perniagaan.
Kerajaan juga boleh mewajibkan rekod timbangan digital yang boleh diaudit dan dihubungkan dengan dokumen penghantaran.
Data daripada stesen timbang, sistem kedudukan global (GPS) dan pusat pemeriksaan perlu digunakan untuk mengenal pasti syarikat berisiko tinggi, bukan sekadar menangkap lori secara rawak di tepi jalan.
Pada masa sama, pemandu memerlukan saluran terlindung untuk menolak muatan berlebihan atau melaporkan arahan tidak selamat tanpa ancaman dibuang kerja.
Perlindungan ini penting jika pekerja yang mengetahui pelanggaran takut untuk bersuara.
Pengurangan kemalangan maut wajar dihargai, tetapi kejayaan sebenar bukan sekadar lebih banyak operasi dan saman. Selagi keuntungan dinikmati oleh seluruh rantaian tetapi hukuman tertumpu kepada pemandu, sistem itu masih tidak adil.
Keselamatan jalan raya mesti menjadi tanggungjawab semua pihak yang memuat, mengarah, mengendalikan dan meraih keuntungan daripada setiap perjalanan lori.
DR. IRWAN IBRAHIM & TS. DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), UiTM, Selangor










