PETALING JAYA: Nasib lebih 5,000 pelaut tempatan dan sektor luar pesisir kini terus dianaktiri syarikat yang cenderung memilih pekerja asing terutama dari Indonesia, Filipina, India dan Ukraine selain dari Eropah.
Situasi itu sekali gus menimbulkan kebimbangan dan persoalan terhadap nasib pelajar di 34 institusi pendidikan di negara ini yang menawarkan program berkaitan bidang maritim dan luar pesisir terutama selepas menamatkan pengajian.
Presiden Pelaut Luar Pesisir Malaysia (MOS), Kapten Tunku Ismail Tunku Yahaya berkata, berdasarkan tinjauan pihaknya membabitkan 266 pelaut tempatan mendapati, sebanyak 107 responden menyatakan banyak jawatan telah diberikan kepada pelaut asing manakala 18 pilihan menyatakan mereka tidak diberikan peluang kenaikan pangkat walaupun berkelayakan.
“Lebih mengecewakan, ada pelaut tempatan yang telah dinilai dan diluluskan kelayakan syarikat minyak tempatan namun masih tidak diberikan peluang untuk kenaikan pangkat. Dalam keadaan tertentu, syarikat tetap memilih dan mengutamakan tenaga kerja dari luar.
“Keadaan ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menjejaskan peluang pekerjaan malah menyekat perkembangan kerjaya pelaut tempatan untuk jawatan penting antaranya nakhoda, ketua jurutera dan pemimpin profesional dalam industri luar pesisir,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sebagai rekod, sektor luar pesisir melibatkan kerja mengekstrak sumber dari bawah dasar laut menggunakan platform atau pelantar manakala sektor maritim melibatkan kerja pengangkutan dalam industri perkapalan.
Dalam pada itu, Tunku Ismail berkata, dapatan berkenaan memberikan gambaran awal mengenai keresahan serta pengalaman sebahagian pelaut tempatan.
“Data ini tidak boleh dianggap sebagai kajian menyeluruh industri, namun ia memberikan gambaran awal yang jelas mengenai keresahan dan pengalaman sebahagian pelaut tempatan.
“Lebih mengecewakan apabila terdapat pelaut tempatan yang telah dinilai dan diluluskan kelayakannya oleh syarikat minyak tempatan namun masih tidak diberikan peluang memegang jawatan kanan, sedangkan tenaga kerja luar pula diutamakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mana-mana syarikat tidak boleh menggunakan alasan kekurangan kepakaran calon anak tempatan dalam kedua-dua bidang berkenaan.
Katanya ini kerana, selain pelbagai program dan institusi daripada kerajaan Malaysia, pihaknya juga telah membangunkan platform digital untuk menghimpunkan tenaga kerja anak tempatan dalam satu pangkalan data yang lebih tersusun.
“Di bawah kami mempunyai lebih 1,300 ahli yang terdiri daripada nakhoda, ketua jurutera, pegawai dek, pegawai jurutera, Dynamic Positioning Operator (DPO), kru dek, kru enjin dan katering.
“Apabila ada platform digital, pelaut boleh membina profil sendiri dan majikan serta agensi pengambilan pekerja pula boleh mencari calon berdasarkan jawatan, kelayakan, pengalaman, jenis kapal serta status ketersediaan,” katanya.-UTUSAN.











