PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini mengumumkan caj penyertaan bagi Bazar Deepavali 2026 di Kuala Lumpur diturunkan sebanyak 85 peratus kepada kadar maksimum RM400, termasuk cagaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kadar itu adalah sama seperti yang dikenakan ke atas Bazar Ramadan, selain tempoh operasi bazar berkenaan pada tahun ini dipanjangkan kepada tempoh 30 hari berbanding 21 hari sebelum ini.
“Kita nak turunkan kos untuk penjaja dan beri tempoh berniaga yang lebih panjang kepada mereka. Jumlah petak juga meningkat pada tahun ini iaitu kita konsisten dengan pendirian kita sepanjang tahun iaitu kurangkan kos berniaga kepada kumpulan peniaga di Kuala Lumpur.
“Dan dengan ini manfaatnya akan sampai kepada penjaja dan juga penduduk warga kota. Sesiapa yang berminat mohon berurusan terus dengan DBKL. Saya tak nak nanti ada orang tengah dekat luar caj beribu-ribu ringgit kerana harga kita, kita tetapkan RM400 sahaja,” katanya menerusi sidang akhbar pengumuman Bazar Deepavali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Bazar Deepavali 2026 akan bermula dari 9 Oktober hingga 7 November di dua lokasi utama iaitu Tempat Letak Kenderaan Kompleks Tun Sambanthan menerusi konsep Mega Bazar Deepavali dan Jalan Bunus 6, Masjid India melibatkan 172 petak niaga, termasuk lesen penjaja bazar dan lesen hiburan semasa/promosi di dua lokasi.
Bagi tahun ini, jumlah RM400 itu merangkumi fi lesen RM30, caj perkhidmatan RM150, sewa tapak RM150 dan cagaran RM70, berbanding pada tahun 2025, jumlah keseluruhan yang perlu disediakan ialah RM2,626, merangkumi fi lesen RM21, caj perkhidmatan RM105, sewa tapak RM500 dan cagaran RM2,000.
Selain itu, sebanyak 30 lesen hiburan semasa/promosi akan dikeluarkan kepada premis di hadapan Jalan Tun Sambanthan, tertakluk kepada permohonan pemilik premis.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, penganjuran pada tahun ini menggunakan model pengurusan hibrid dan DBKL kekal bertanggungjawab terhadap aspek pelesenan, kawal selia dan penguatkuasaan dengan penglibatan persatuan dalam pengurusan operasi bazar.
Jelasnya, empat persatuan yang terlibat ialah Pertubuhan Kebajikan Peniaga dan Penjaja Kecil Interaksi Kuala Lumpur & Selangor (PKPPKI), Persatuan Prihatin Peniaga Little India Brickfields, Persatuan Penjaja Penjaja Medan Selera Pines Bazaar Brickfields dan Malaysia Hindu Sangam Wilayah Persekutuan.
“Kita telah mengiklankan mengenai bazar ini dan kita jangka penerimaan amat banyak daripada persatuan dan proses pengundian akan dijalankan pada 22 dan 23 September ini,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas berhubung kebimbangan yang mungkin berlaku akibat kesesakan lalu lintas di sekitar Jalan Tun Sambanthan sepanjang tempoh penganjuran bazar, Fadlun menjelaskan bahawa DBKL telah meneliti perkara itu pada peringkat awal sebelum mengenal pasti lokasi berkenaan.
“Kita dah dah lihat perkara ini di peringkat awal lagi sebelum kita kenal pasti (lokasi bazar). Ada jalan-jalan alternatif yang kita telah tengok dan pada masa sama kita juga akan pastikan bahawa sistem laluan nanti sewaktu sepanjang bazar ini berlangsung kawalan trafik yang ketat akan kita laksanakan,” katanya. – UTUSAN











