PUTRAJAYA: Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan Lembah Klang petang semalam mencatatkan jumlah hujan terkumpul sehingga lima kali ganda berbanding keadaan hujan biasa, terutama di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, rekod sehingga 5.30 petang semalam menunjukkan Lembah Keramat mencatatkan jumlah hujan terkumpul tertinggi iaitu 155.5 milimeter, diikuti Kampung Berembang (145.5 milimeter) dan stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang (133.5 milimeter).
Menurut beliau, keadaan hujan biasa adalah sekitar 30 milimeter, sekali gus menunjukkan jumlah hujan yang diterima semalam adalah antara tiga hingga lima kali ganda lebih tinggi.
“Secara keseluruhannya, kejadian hujan lebat pada petang 20 September telah mencatatkan jumlah hujan terkumpul yang sangat tinggi khususnya di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat sehingga menyebabkan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan sekitar Ampang.
“Ia lebih, biasa 30 milimeter, semalam lima kali ganda iaitu pada kadar 155 milimeter hujan lebat,” katanya menerusi sidang akhbar selepas pengumuman Bazar Deepavali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat yang melanda sekitar ibu negara dan kawasan berhampiran membabitkan kawasan di Ampang, Taman U-Thant dan Jalan Ampang.
Dalam pada itu, Fadlun berkata, jumlah hujan terkumpul yang tinggi di kawasan tadahan Ampang dan Lembah Keramat telah mengakibatkan aliran air permukaan serta paras sungai di kawasan hilir meningkat.
Katanya, paras Sungai Klang di Lembah Keramat mencapai status bahaya pada 51.01 meter, manakala Sungai Bunus dan Sungai Kerayong di Razak Mansion turut berada pada paras bahaya.
“Antara kawasan yang menerima laporan banjir kilat ialah sekitar Ampang, UK Heights, Keramat dan MRR2 (Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2) yang melibatkan limpahan air ke jalan raya serta kawasan perumahan.
“Bagaimanapun, berdasarkan maklumat daripada Bilik Gerakan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), kejadian di kawasan Kuala Lumpur melibatkan air bertakung dalam tempoh singkat antara 15 hingga 30 minit,” katanya.
Tambahnya lagi, antara lokasi yang dilaporkan mengalami air bertakung ialah Jalan Pudu berhampiran Hospital Tung Shin, Jalan Genting Klang, Jalan Sultan, Kampung Periuk, Kampung Bharu, Flat PKNS Jalan Tun Razak, Wisma KLIDC di Jalan Yap Kwan Seng dan Blok C Seksyen 10, Wangsa Maju. – UTUSAN











