Isu pengampunan Najib: Letak jawatan sahaja jika tak setuju - Ramasamy - Utusan Malaysia

Isu pengampunan Najib: Letak jawatan sahaja jika tak setuju – Ramasamy

P. RAMASAMY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Semua pemimpin DAP khususnya yang memegang jawatan dalam kerajaan termasuk menteri dan timbalan menteri digesa meletakkan jawatan jika benar-benar tidak bersetuju dengan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Dr. P. Ramasamy berkata, dalam hal ini, tindakan DAP yang hanya menawarkan peletakan jawatan Setiausaha Agung mereka iaitu Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan menimbulkan persoalan mengenai pendirian sebenar parti itu terhadap isu berkenaan.

“Mengapa hanya seorang pemimpin (Anthony Loke) letak jawatan? Di manakah prinsip DAP dalam isu ini? Kalau tidak setuju dengan pengampunan yang diberikan kepada Najib, letak jawatan sahaja (semua), jangan buat ‘drama’ lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Sebelum ini, Loke menawarkan diri untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP membincangkan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu menjelaskan, peletakan jawatan tersebut hanya membabitkan dirinya, manakala menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan terus kekal dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan politik negara.

Sementara itu, Ramasamy yang juga bekas pemimpin DAP berkata, parti itu memerlukan perubahan dari segi kepimpinan bagi menentukan pendirian mereka dengan lebih jelas sama ada untuk terus kekal berada dalam kerajaan atau sebaliknya.

Ketika ini, beliau mendakwa, kepimpinan yang ada tidak dapat menentukan hala tuju parti sepenuhnya kerana masing-masing perlu menjaga kepentingan sendiri.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×