Aliff Syukri sudah lama simpan hasrat bertemu Pinn Yang - Utusan Malaysia

Aliff Syukri sudah lama simpan hasrat bertemu Pinn Yang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Impian selebriti dan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri untuk bertemu personaliti dan pencipta kandungan digital, Pinn Yang, akhirnya menjadi kenyataan apabila kedua-duanya dipertemukan secara tidak dirancang baru-baru ini.

Pertemuan itu disifatkan Aliff sebagai satu pengalaman bermakna, apatah lagi Pinn Yang merupakan antara individu yang dikaguminya dalam bidang keusahawanan dan pemasaran menerusi media sosial.

Menurut Aliff, pertemuan berkenaan bukan sahaja membuka peluang untuk mereka bertukar pandangan mengenai perniagaan, malah membawa kepada satu lagi kerjasama apabila dia menerima tawaran untuk bersama-sama menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026.

“Saya memang sudah lama teringin untuk bertemu Pinn Yang. Apabila pertemuan ini berlaku secara tidak sengaja, saya rasa sangat teruja kerana kami dapat berkongsi pandangan dan pengalaman dalam dunia perniagaan.

“Pada masa sama, saya turut menerima tawaran daripada pihak Pinn Yang untuk bersama-sama menjayakan Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026, yang buat julung kalinya akan berlangsung di Pulau Pinang,” katanya.

Pinn Yang yang dikenali menerusi perkongsian berkaitan perniagaan dan kandungan digital di platform media sosial, khususnya TikTok, turut menyambut baik pertemuan tersebut.

Katanya, pertemuan pertama dengan Aliff Syukri memberikan pengalaman positif selain membuka ruang untuk kedua-dua pihak berkongsi pengalaman masing-masing dalam bidang perniagaan.

“Apabila pertama kali bertemu dengan Aliff Syukri, saya dapat merasakan keserasian yang baik antara kami. Saya sangat kagum dengan personalitinya dalam bidang perniagaan, selain kandungan yang dihasilkan di media sosial.

“Banyak perkara yang kami kongsikan dan bincangkan bersama, terutamanya berkaitan pengalaman dalam dunia perniagaan serta bagaimana media sosial boleh dimanfaatkan untuk membina jenama,” katanya.

Pertemuan kedua-dua personaliti berkenaan bakal diteruskan di pentas KHPM 2026 yang akan berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 September ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Edisi sulung KHPM 2026 itu dijangka menghimpunkan pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), usahawan, persatuan industri serta pemain industri dari seluruh negara menerusi pelbagai pengisian.

Antara aktiviti yang disediakan termasuk perbincangan panel, sesi pembentangan perniagaan (pitching), perkongsian ilmu dan jaringan perniagaan (networking).

KHPM 2026 dianjurkan Monie, sebuah jenama di bawah Foodie Media Berhad, bersama Spire Digital dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Selain memberi tumpuan kepada dunia keusahawanan, karnival berkenaan turut menampilkan barisan artis popular tanah air termasuk Ella, Ara Johari, Shasha Rizal, Wany Hasrita, Nabila Razali dan Nuha Baharin.

Kemunculan Aliff Syukri dan Pinn Yang dalam satu pentas sama dijangka menjadi antara pengisian yang menarik perhatian pengunjung, terutama dalam kalangan usahawan serta pencipta kandungan digital.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×