Keadilan perlu dalam pelaksanaan syarat haji

Keadilan perlu dalam pelaksanaan syarat haji

PERUBAHAN syarat wajar adil dan berperingkat, selaras dengan tujuan asal peranan Lembaga Tabung Haji (TH) membantu umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI dalam kalangan masyarakat mungkin berasa kurang selesa sekiranya perubahan berkaitan syarat kelayakan haji dilaksanakan secara mendadak.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan melaksanakan pindaan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) bagi memastikan amanah umat Islam terus dipelihara.

Anwar juga berkata pindaan itu merupakan antara langkah Kerajaan Madani dalam memperkukuh tatakelola dan memastikan setiap kelemahan institusi diperbetulkan dengan tegas.

“Tatakelola mesti terus diperkukuh, institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas. Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam.

Bagi menjaga keadilan serta kebajikan semua pendeposit, khususnya mereka yang telah lama menanti, sewajarnya sebarang ketetapan baharu diperkenalkan secara berperingkat dengan mengambil kira keadaan semasa.

Dalam hal ini, dicadangkan supaya pendeposit sedia ada diberikan tempoh peralihan yang munasabah, misalnya dua tahun, agar mereka mempunyai ruang untuk menyediakan simpanan yang diperlukan.

Pendekatan sedemikian dapat memberi peluang yang lebih seimbang kepada mereka yang telah lama merancang untuk menunaikan ibadah haji tetapi mungkin belum mempunyai kecairan kewangan yang mencukupi.

Sebagai alternatif, Lembaga Tabung Haji (TH) boleh mempertimbangkan kaedah kuota hibrid. Sebanyak 50 peratus diperuntukkan mengikut kaedah sedia ada bagi satu tempoh tertentu, manakala 50 peratus lagi diberikan berdasarkan kemampuan memenuhi jumlah simpanan yang ditetapkan. Kaedah tersebut boleh dilaksanakan secara berperingkat sebelum dinilai semula dalam tempoh tiga tahun.

Cadangan ini juga mengambil kira keadaan masyarakat luar bandar. Ada yang memiliki tanah atau aset, namun memerlukan masa untuk menjual atau mencairkannya. Mereka mungkin mempunyai keinginan dan kemampuan asas untuk pergi tetapi tidak sempat memenuhi syarat baharu dalam tempoh yang singkat.

Pada hemat saya, perkara paling utama ialah memastikan semangat asal penubuhan TH sentiasa menjadi landasan. Selain memudahkan urusan umat Islam menunaikan haji, institusi ini mempunyai nilai sosial yang besar, iaitu membantu seramai mungkin umat Islam mencapai kemampuan untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Golongan berada sememangnya mempunyai lebih banyak pilihan, termasuk menggunakan pakej swasta yang kosnya jauh lebih tinggi. Sebaliknya, terdapat masyarakat berpendapatan sederhana dan rendah yang benar-benar menyimpan dengan harapan dapat menunaikan haji melalui Tabung Haji.

Justeru, kaedah baharu wajar memastikan peluang mereka yang telah lama menunggu tidak terjejas secara ketara.

Ada pendeposit yang telah mendaftar sejak puluhan tahun lalu, bimbang kedudukan mereka terpinggir apabila pendaftar baharu yang lebih berkemampuan dapat memenuhi syarat dengan segera.

Diharapkan pihak TH dapat meneliti perkara ini dengan penuh hikmah, amanah dan pertimbangan terhadap keadaan semua lapisan masyarakat.

Keputusan yang dibuat bukan sahaja menyentuh soal kewangan, malah berkait dengan harapan dan impian umat Islam untuk menyempurnakan kewajipan kepada Allah SWT.

Semoga setiap penambahbaikan yang dilaksanakan terus mengekalkan prinsip keadilan, ihsan dan semangat saling membantu yang menjadi asas penubuhan TH. –UTUSAN

HELMY
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×