SEJAK kecil kita dididik oleh ibu bapa agar membuat persediaan sebelum ke sekolah.
Guru juga mengingatkan pelajar agar bersedia sebelum menduduki peperiksaan. Alim ulama pula sering mengingatkan manusia tentang kewajaran membuat persiapan sebelum meninggalkan alam fana ini. Demikianlah perlunya persediaan dalam semua perkara, termasuklah sebelum menyampaikan ucapan.
Namun begitu, tidak banyak individu yang sanggup berbuat demikian. Di sesetengah masjid, kita dapati khatib tergagap-gagap membaca ayat suci al-Quran sewaktu berkhutbah.
Di sekolah pula, terdapat guru yang menyampaikan ucapan secara tidak berfokus. Misalnya, ucapan dimulakan dengan memberikan nasihat, kemudian berjenaka. Apabila pelajar membuat kerenah guru meninggikan suara. Masa terbuang begitu sahaja dan matlamat majlis tidak kesampaian.
Pemimpin dan pengurus organisasi, terkenal dengan kepetahan berkata-kata. Menyedari kehebatan itulah, banyak yang mengesampingkan persediaan. Oleh sebab itu, tidak hairanlah sekiraya tanpa disedari terkeluar perkara yang boleh disalahtafsirkan oleh pihak tertentu meskipun niat penuturnya suci.
Insan yang bijak seharusnya berhati-hati apabila memperkatakan isu agama. Hal ini disebabkan pengetahuan agama seseorang tidak mungkin sama antara satu sama lain, apatah lagi dalam konteks negara kita yang berbilang kaum.
Cerita atau isu tertentu barangkali boleh diucapkan dalam kelompok yang kecil, misalnya di surau atau di masjid, bukannya semasa menyampaikan ceramah.
Tanpa persediaan, ditambah pula dengan keceloparan seseorang, sesuatu isu yang ditimbulkan boleh disalahtafsirkan oleh pihak lain meskipun penuturnya berniat baik.
Sesuatu isu mula menjadi kontroversi sehingga boleh menimbulkan bibit-bibit perpecahan. Ertinya, tanpa persiapan isu yang ditimbulkan sering disalahtafsirkan oleh pihak tertentu sehingga penutur yang dianggap tinggi ilmu agamanya diperkecil, malah dilabel sebagai pemfitnah. Selain itu, ia juga menjejaskan imej tokoh yang berkenaan.
Demikian juga dalam menyentuh isu yang berkaitan dengan sejarah, bangsa, dan budaya. Persediaan perlu difikirkan sebelum memulakan ucapan agar masyarakat yang boleh berfikir tidak mempunyai ruang untuk membuat tafsiran negatif.
Demikianlah pentingnya persediaan sebelum memulakan sesuatu pekerjaan. Selain mutu ucapan berkualiti, individu yang berkenaan dikatakan beradab dan berakhlak untuk merealisasikan keharmonian sebuah masyarakat. –UTUSAN
NAWI ISMAIL
Pesara guru











