KOTA BHARU: Jabatan Penjara menafikan dakwaan penyanyi dan komposer Yassin Sulaiman bahawa bekalan dadah mudah diperoleh asalkan mempunyai wang meskipun menjalani hukuman di balik tirai besi itu.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, semua pusat tahanan itu mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan ketat.
“Saya tegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar. Dalam penjara, kita mempunyai konteks kepenjaraan dan peraturan bagi mengatasi perkara negatif. Lagipun, kita mempunyai SOP dan kawalan ketat di semua penjara di negara ini,” katanya selepas Program Bookathon di Penjara Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Yasin mendakwa dadah masih memasuki penjara walaupun pemeriksaan keselamatan ketat dikenakan terhadap banduan baharu.
Menurut Yasin, beliau diarahkan menanggalkan pakaian dan menjalani pemeriksaan berulang ketika tiba di Penjara Sungai Buloh, namun langkah berkenaan didakwa masih tidak dapat menghalang peredaran dadah di dalam penjara.
Sementara itu, Mohamad Rosidek enggan mengulas lebih lanjut mengenai dakwaan penyanyi berkenaan.
Katanya, kawalan serta SOP di institusi penjara sentiasa dikaji secara berperingkat bagi mengekang perkara negatif daripada berlaku.
“Saya akui ada perkara negatif berlaku tetapi tidak seperti yang dinyatakan penyanyi tersebut. Di penjara, kita perlu fokus dalam menangani sebarang kes termasuk kejayaan prospek selain sentiasa berusaha mengatasi perkara negatif dan mereka yang melakukan kesalahan diambil tindakan,” ujarnya. – UTUSAN











